Berita

80% peserta i-FIT berjaya turun berat badan

SEBAHAGIAN peserta ketika Majlis Penutup dan Anugerah Program i-FIT Putrajaya 2023 yang diadakan di Dewan Seri Melati Kompleks PPj, baru-baru ini.
- Diterbit 4 Ogos 2023 9:00 AM MYT

KIRA-KIRA 80 peratus (%) peserta Program i-FIT Putrajaya 2023 berjaya menurunkan berat badan sebanyak 1 sehingga 2 kilogram (kg) sementara berat tertinggi bagi kategori lelaki adalah 12kg manakala 7kg bagi kategori wanita.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berkata Program i-FIT Putrajaya 2023 yang diadakan pada 10 Jun hingga 22 Julai lalu merupakan salah satu usaha menangani masalah berat badan dan obesiti khususnya dalam kalangan warga kerja dan komuniti setempat.

“Berdasarkan kepada kajian Mobiliti dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) 2015, sebanyak 37% penduduk Putrajaya mempunyai berat badan berlebihan dan 43% pada kadar obesiti.

“Justeru itu, PPj menerusi LA21 Putrajaya dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kelab Sukan, Rekreasi dan Kebajikan Perbadanan Putrajaya (KRISPutra) melaksanakan program ini bagi memberi penerangan dan senaman untuk mengurangkan masalah berat badan serta membangunkan Putrajaya ke arah Bandar Sihat,” katanya menerusi satu kenyataan media baru-baru ini.

Fadlun berkata penganjuran program pada kali ini menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan sebanyak 91 peserta.

“Terdapat 10 sesi latihan fizikal serta dua sesi saringan kesihatan dan ujian kecergasan telah dilaksanakan.

“Program kali ini lebih memfokuskan kepada teknik penurunan berat badan melalui amalan senaman dan pemakanan sihat yang dipantau oleh pakar kesihatan,” ujarnya program tersebut terbuka kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas.

Beliau berkata PPj menyediakan hadiah berbentuk wang tunai, hamper dan sijil kepada pemenang-pemenang i-FIT Putrajaya 2023 yang disampaikan oleh Naib Presiden Jabatan Perancangan Bandar, PPj, Shamsul Bahrin Rahmat.

“Antara kategori yang dipertandingkan adalah penurunan berat badan, penurunan ukur lilit pinggang, peningkatan peratusan jisim otot, kardiovaskular (jarak larian dalam 12 minit) dan Anugerah Khas (peserta paling komited).

“Dalam pada itu, PPj juga akan meneruskan pelaksanaan program kesihatan pada awal tahun 2024 berikutan sambutan menggalakkan yang diterima daripada komuniti setempat,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas