SERAMAI 80 peserta terdiri daripada wakil media tempatan dan antarabangsa turut serta dalam penganjuran Tourism Malaysia Media Explore Race (TOMER) 2023 yang berlangsung di sekitar Putrajaya dan Selangor pada 8 hingga 10 November lalu.
Menurut Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd. Ghapar, penganjuran TOMER 2023 yang memasuki tahun kedua itu menyaksikan 18 penyertaan antarabangsa dari Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina dan Brunei yang bertujuan untuk mengeratkan kerjasama dengan pihak media arus perdana dan media baharu.
“Di samping itu, ia juga untuk memberi publisiti dan liputan yang meluas terhadap produk-produk pelancongan terkini di sekitar Putrajaya dan Selangor yang merangkumi tarikan alam semula jadi, keindahan pantai, warisan dan seni budaya.
“Ia juga seiring dengan hasrat kerajaan untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026, Tourism Malaysia telah menjalankan pelbagai aktiviti promosi dan pemasaran untuk meningkatkan sumbangan sektor pelancongan kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Tambah beliau, menerusi penganjuran TOMER 2023, publisiti untuk produk-produk pelancongan dapat ditingkatkan selain memperkukuh kerjasama awam-swasta bagi menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah destinasi pelancongan pilihan di rantau ini.
Menariknya, Dr Ammar berkata para peserta perlu melepasi cabaran dengan menempuh misi kembara dan eksplorasi harta karun di Putrajaya serta menjelajah laluan persisiran pantai di Selangor secara berkumpulan dengan menaiki kereta tajaan Perodua.
“Selain itu, mereka juga perlu menghasilkan pelbagai kandungan promosi pelancongan termasuk video yang bakal dikongsikan di media sosial.
“Antara lapan hentian checkpoint di sepanjang laluan sekitar Putrajaya termasuklah Dataran Putra, Astaka Morocco, Wetland Studio, Kompleks Nasyrul Quran, Anjung Floria, Taman Ekuestrian, Secret Garden Putrajaya dan Tangga Putrajaya.
“Semasa di Selangor, para peserta pula perlu melalui enam checkpoint bermula di Homestay Banghuris, Pantai Bagan Lalang, Pantai Morib, Pantai Kelanang, Istana Bandar Jugra dan Perkampungan Budaya Mah Meri di Pulau Carey. Misi kembara tersebut berakhir di Shah Alam dengan majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Mardhiyyah Hotel & Suites,” ujar beliau pihak Tourism Malaysia turut menyediakan perkhidmatan bas KL Hop-On Hop-Off untuk membawa para peserta menikmati keindahan panaroma malam yang penuh warna-warni di Putrajaya.
Dalam masa sama, Dr Ammar memberitahu dalam pertandingan berkonsepkan explorace itu, peserta perlu menghasilkan kandungan video promosi produk pelancongan di negeri berkenaan.
“Semua peserta dibahagikan kepada 20 kumpulan dan setiap mereka perlu memuat naik video kreatif yang dihasilkan berkaitan produk pelancongan di setiap checkpoint melalui akaun media sosial mereka.
“Kita buat konsep explore and expose kerana mahu peserta bukan sahaja menjawab soalan treasure hunt dan menyelesaikan cabaran yang diberi, tetapi turut sama mempromosikan produk pelancongan yang ada di Putrajaya dan Sepang,” ujarnya TOMER 2023 adalah jalan terbaik untuk mengukuhkan perkongsian antara pihak awam-swasta dalam mempromosikan pelancongan dua negeri itu.
Terdahulu, program selama tiga hari dua malam itu dianjurkan menerusi kerjasama strategik bersama Perodua, Perbadanan Putrajaya dan Tourism Selangor. – WILAYAHKU