Berita

786 asnaf program pembangunan usahawan MAIWP keluar daripada garis kemiskinan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 18 Mac 2024 1:50 PM MYT

PERSIDANGAN Dewan Negara di sini hari ini diberitahu sebanyak 21 peratus atau 786 daripada 3,735 peserta asnaf bagi program pembangunan usahawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah berjaya keluar daripada paras kemiskinan pada 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihak MAIWP juga berjaya melengkapkan dan membangunkan sebanyak 688 asnaf berpotensi dengan latihan kemahiran insaniah berkerjaya.

Malah, katanya sejumlah 430 individu generasi kedua asnaf yakni anak asnaf telah mendapat latihan dan pekerjaan dengan gaji minimum permulaan RM1,500 sebulan.

“Bagi pengembangan pendidikan latihan dan kerjaya, (kita) mempelbagaikan program latihan pembangunan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) kepada generasi kedua asnaf yang ketinggalan dalam akademik supaya mereka dapat meningkatkan kejayaan mereka dan meningkatkan pendapatan,” katanya pada sesi soal jawab lisan.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Hisamudin Yahaya mengenai keberkesanan program pembangunan asnaf MAIWP yang telah dilaksanakan dan cadangan-cadangan yang boleh memberi impak kepada pembangunan asnaf.

Mohd Na’im berkata antara cadangan lain yang diterokai oleh MAIWP bagi memberi impak maksimum pembangunan asnaf ialah penambahbaikan program kewangan iaitu memperbaik pembangunan kewangan sedia ada atau memperkenalkan program baharu yang memberi tumpuan bantuan kewangan seperti pakej bantuan asasi meliputi keperluan makanan, perlindungan, pendidikan serta lain-lain bagi membantu asnaf meningkatkan kesejahteraan ekonomi mereka.

Sementara itu, menjawab soalan asal Hisamudin mengenai jumlah peruntukan kewangan dan bilangan peserta terlibat dalam Program Pembangunan Asnaf MAIWP pada 2022 hingga 2023, Mohd Na’im berkata sebanyak 10,288 peserta terlibat dengan bilangan 172 program membabitkan perbelanjaan RM19,289,310.

Katanya, empat program utama yang dilaksanakan ialah Program Pembangunan Usahawan, Program Latihan dan Kerjaya, Program Agro Pertanian Bandar dan Program Kerohanian. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas