SERAMAI 730 pelajar cemerlang diraikan dalam Majlis Apresiasi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2023 Bandar Tun Razak.
Menurut Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail program tersebut amat bermakna bagi pendidikan negara.
“Saya dimaklumkan jumlah keseluruhan pelajar yang diraikan hari ini mencecah 730 orang dan ini adalah tahun yang terbaik. Syabas diucapkan.
“Pelajar-pelajar ini juga menerima sumbangan wang tunai bermula RM100 sehingga RM250,” ujar beliau ketika merasmikan Majlis Sumbangan PIBG dan Apresiasi SPM 2023 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB).
Tambah beliau terdapat pelbagai institusi pendidikan tinggi untuk memenuhi keperluan pelbagai segmen masyarakat dan negara.
“Dalam segala bentuk dan jenis pendekatan yang ada ini, Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) merupakan institusi yang mempunyai mandat serta mempunyai misi dan visi dalam melahirkan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertaraf antarabangsa dan menepati keperluan industri.
“Buat pelajar lepasan SPM, dapat banyak A atau tidak itu bukan pengukur kerana anda masih dalam perjalanan pendidikan dan masih ada ruang untuk meningkatkan diri sari segi kemahiran dan lain-lain,” katanya.
Azizah berkata sumbangan sebanyak RM5,000 juga turut diberikan kepada setiap PIBG di 21 buah sekolah.
“Ia melibatkan sebanyak 12 buah Sekolah Rendah dan 9 Buah Sekolah Menengah Dalam Bandar Tun Razak.
“Kita menyedari bahawa PIBG kekurangan sumber kewangan dan terpaksa melakukan pelbagai cara bagi mencari sumber itu untuk membantu meningkatkan kecemerlangan di sekolah masing-masing.
“Diharapkan sumbangan ini dapat membantu menjalankan serta melancarkan lagi aktiviti-aktiviti yang dirancang sepanjang tahun ini,” ujar beliau. – WILAYAHKU