POLIS menahan tujuh individu warga asing yang disyaki terlibat dalam kes penipuan pelaburan atas talian di Mont Kiara, Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohd Mahidisham Ishak berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 26 hingga 36 tahun ditahan dalam satu serbuan di sebuah premis oleh sepasukan polis daripada beberapa bahagian.
“Tujuh suspek tersebut ditahan pada pukul 2.30 petang oleh pasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabata Polis Daerah (IPD) Brickfields bersama-sama Bahagian Siasatan Risikan/Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

“Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas 14 unit monitor, tujuh unit central processing unit (CPU), 14 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua set modem dan satu set router ketika serbuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Mahidisham, sindiket berkenaan telah mula beroperasi sejak Mac 2021 dan mensasarkan mangsa dari negara Korea.
“Kesemua suspek ditahan sehingga 15 September ini untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ),” katanya. – WILAYAHKU – HAZIRAH HALIM