JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Labuan menahan seramai 7 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Tindakan Operasi Penguatkuasaan, baru-baru ini.
Menurut Pengarahnya, Raymond Entalai, operasi dilakukan bermula 10 pagi hingga 10.15 malam itu melibatkan lapan pegawai dan anggota lain-lain pangkat.
Katanya, hasil daripada operasi itu seramai 38 individu telah diperiksa melibatkan warganegara Malaysia dan warganegara asing.
“Seramai tujuh daripadanya didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan ditahan di Depot Imigresen Labuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata lokasi serbuan yang dijalankan melibatkan di rumah kediaman, premis dan pusat hiburan.
Tambahnya, tindakan penguatkuasaan itu diambil susulan aduan orang awam berhubung PATI yang disyaki tinggal, bekerja dan berada di negara ini tanpa memiliki pas dan dokumen pengenalan diri yang sah dan telah tamat tempoh.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang diberikan.
Beliau berkata pihaknya juga akan mengambil tindakan pendakwaan terhadap majikan serta pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
“Sekiranya didapati bersalah, denda dikenakan tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap seorang yang diambil bekerja.
“Justeru itu, pihak majikan yang ingin mengambil warga asing untuk bekerja dinasihatkan untuk mematuhi dan mengikut saluran berlandaskan undang-undang yang telah ditetapkan.
“JIM Labuan akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membenteras pendatang asing tanpa izin di negara ini,” katanya. – WILAYAHKU