KARTUN dan kanak-kanak amat sinonim dan meskipun kebanyakan kartun sesuai untuk tontonan umum namun ada kalanya ia boleh melampaui batas.
Bagaimanapun menurut laman sesawang Sinarplus, terdapat beberapa kartun yang mengandungi unsur bahaya serta boleh merosakkan emosi anak-anak.
- HUGGY WUGGY
Dilancarkan pada tahun 2021, kartun ini adalah beruang biru yang mempunyai gigi tajam, rambut kerinting dan muncul dalam siri yang disebut Poppy Playtime.
Kartun ini disifatkan sebagai mendorong kanak-kanak melakukan pembunuhan melalui lirik lagunya dan mempunyai penarafan umur 8+ (8 tahun ke atas).
Antara karakter kartun ini ialah menggunakan kata-kata yang menyinggung perasaan, menggambarkan penggunaan alkohol, menunjukkan aksi menikam, memenggal kepala dan menunjukkan percubaan membunuh.
- KISSY MISSY
Setahun selepas pelancaran kartun Huggy Wuggy, Kissy Missy pula muncul. Penampilannya seakan Huggy Wuggy, cuma ia berwarna merah jambu.
Ia tidak sesuai untuk kanak-kanak di bawah sekolah menengah. Kajian menunjukkan pendedahan kepada media visual yang menakutkan boleh menyebabkan kebimbangan jangka panjang, tekanan emosi dan gejala fizikal pada kanak-kanak di bawah usia
14 tahun.
- HAPPY TREE FRIENDS
Menampilkan haiwan hutan antropomorfik, setiap episod bermula dengan aman di mana haiwan menjalani kehidupan seperti biasa, tetapi kejadian secara tiba-tiba tanpa disengajakan (kadang-kadang sengaja) disebabkan oleh haiwan lain membawa kepada banyak watak yang mengalami keganasan grafik yang sangat melampau.
Mungkin kartun ini kelihatan comel di mata kita tetapi sebenarnya ia menunjukkan pembunuhan yang sangat mengerikan.
- AMONG US
Merupakan satu permainan misteri pembunuhan yang boleh berlaku dalam kapal angkasa. Dalam kalangan pemain, satu hingga tiga akan dipilih secara rawak sebagai penipu yang perlu bergabung dan membunuh rakan krew.
Kartun ini menunjukkan aksi ganas seperti mangsa ditikam dengan pisau atau lidah tajam atau ditembak dengan pistol dan leher mangsa dipatahkan. Kartun ini menunjukkan cara berfikir dengan cepat dan menjadi pembohong yang baik.
- SKIBIDI TOILET
Animasi ini tular di YouTube pada tahun lalu di mana ia dikatakan telah memberikan kesan negatif kepada golongan kanak-kanak dan beberapa video di TikTok turut memaparkan perbuatan pelik golongan berkenaan selepas menonton rancangan
tersebut.
- SIREN HEAD
Kartun Siren Head yang muncul buat pertama kali pada tahun 2018 merupakan karya seniman bertema seram dari Kanada, yang dikenali sebagai Trevor Henderson. Kartun seakan mumia ini tidak memiliki mata, hidung, telinga kerana ia berkebolehan mengesan mangsa melalui kuasa ghaib yang dimilikinya.
Siren Head adalah raksasa yang sangat ganas yang menyebabkan bahaya, kecederaan serius atau bahkan kematian kepada orang lain.
- CARTOON CATS
Sebuah lagi karya seram daripada Trevor Henderson. Kartun ini diperkenalkan sebagai watak yang mempunyai kebolehan kuasa ghaib.
Walaupun digambarkan sebagai seekor kucing yang lucu, namun ia mempunyai niat jahat dan pendengki yang akan melakukan kekejaman.