SEBANYAK 692,000 kenderaan dijangka akan menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) bagi tempoh empat hari bermula hari ini sehingga 13 November sempena cuti perayaan Deepavali.
Jumlah tersebut menujukkan peningkatan sebanyak 73 peratus dari jumlah purata trafik harian biasa.
Ketua Pegawai Eksekutif ANIH Berhad, Imran Gulcharan Abdullah berkata jangkaan jumlah aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) pula dijangka sebanyak 284,000 kenderaan iaitu meningkat sebanyak 58 peratus dari jumlah aliran purata trafik harian biasa.
“Sehubungan itu, ANIH Berhad membuat persediaan dengan menambah bilangan kakitangan sokongan lebih daripada 60 peratus terdiri daripada petugas di plaza tol, pasukan LPT Ronda dan pasukan pusat kawalan trafik (TCC) sepanjang tempoh itu selain membuka laluan tambahan tol jika perlu.
“Seramai 150 anggota RELA juga akan ditempatkan di kawasan-kawasan strategik di seluruh lebuhraya bagi memastikan kelancaran trafik,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Imran juga mengalakkan pengguna lebuh raya untuk menjadikan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) tersebut sebagai panduan bagi membantu mereka merancang perjalanan lebih lancar dan selesa.
“Pengguna Touch n Go diingatkan untuk tetap menyentuh kad pada alat pengesan di lorong tol plaza walaupun kerajaan telah mengumumkan tol percuma sempena perayaan Deepavali yang berkuat kuasa bermula pukul 12.01 tengah malam pada 11 November dan berakhir pada pukul 11.59 malam pada 12 November,” katanya.
Bagi mendapatkan informasi tepat dan terkini, boleh mengikuti laman Facebook rasmi di @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi LPT Line di 1-700-818-700 dan talian Lembaga Lebuhraya Malaysia di 1800-88-7752. – WILAYAHKU