SEBANYAK 63 peratus pendapatan isi rumah di Malaysia terdiri daripada komponen gaji pekerja, kata Kementerian Sumber Manusia (Kesuma)
Katanya, berdasarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas, 2022, oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), gaji pekerja merupakan penyumbang utama pendapatan isi rumah.
“Apabila pendapatan isi rumah bertambah, kuasa beli rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah akan meningkat lalu merangsang permintaan dalam industri dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Kesuma berkata melalui Belanjawan 2025, Kerajaan telah bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa pada 1 Februari 2025.
“Bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima orang pekerja, pelaksanaan dasar ini akan ditangguhkan sehingga 1 Ogos 2025.
Menurut Kesuma, penangguhan selama enam bulan pelaksanaan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima orang pekerja bagi memberi ruang kepada mereka menyesuaikan keperluan kewangan.
“Dasar gaji minima berkuatkuasa pada 1 Febuari 2025 dan kerajaan memberikan penangguhan kepada majikan berkenaan ditangguhkan sehingga 1 Ogos 2025.
“Langkah ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan untuk memastikan dasar ini dilaksanakan dengan lancar tanpa menjejaskan operasi perniagaan khususnya bagi perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS),” katanya dalam sesi jawapan lisan di Dewan Negara semalam.
Katanya, menerusi kuasa beli rakyat yang meningkat, ia juga boleh melonjakkann potensi majikan untuk meningkatkan produktiviti dengan melabur dalam automasi dan teknologi serta memperluaskan operasi secara keseluruhan.
“Secara tidak langsung pelaburan dalam teknologi ini dapat mengurangkan kebergantungan industri terhadap pekerja asing berkemahiran rendah,” katanya.penggunaan teknologi dapat meningkatkan kecekapan serta memperkukuh daya saing jangka panjang industri di negara kita.
“Kerajaan yakin bahawa kenaikan ini bukan sahaja akan menyumbang kepada kesejahteraan pekerja tetapi juga mengukuhkan daya tahan dan kemampanan industri. Langkah ini adalah selaras dengan komitmen untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan progresif,” katanya. – WILAYAHKU