Berita

61 penumpang LRT discaj, tiga masih kritikal

HERIC (kiri) ketika sidang media di Hospital Kuala Lumpur (HKL) petang tadi. HERIC (kiri) ketika sidang media di Hospital Kuala Lumpur (HKL) petang tadi.
- Diterbit 25 Mei 2021 1:06 PM MYT

SUSULAN insiden pelanggaran membabitkan perkhidmatan tren LRT Laluan Kelana Jaya, enam mangsa masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) termasuk tiga yang berada di dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).

Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr Heric Corray berkata, tiga mangsa yang dirawat di ICU kini berada dalam keadaan sangat kritikal kerana mengalami pendarahan otak.

“Dua mangsa memerlukan pembedahan manakala seorang lagi menerima rawatan Cerebral Resuscitation di ICU.

“Selain itu, tiga mangsa yang lain berada di dalam keadaan stabil dan dua daripadanya mengalami patah tulang, yang mana satu mangsa dimasukkan ke wad dan satu lagi mengalami kepatahan tulang serta masih di jabatan kecemasan dan menunggu untuk masuk ke ortopadik.

“Manakala, seorang lagi dimasukkan ke wad pembedahan dan mengalami kecederaan pada dada dan hati,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Anuar Musa dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Zaizalnizam Zainun.

Dalam pada itu, Heric memaklumkan seramai 19 mangsa dimasukkan ke zon kuning dan 18 daripadanya telah discaj hari ini.

Manakala di zon hijau pula 42 mangsa dengan hanya mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan di hospital swasta.

Jelasnya, daripada jumlah itu, 39 daripadanya hanya mengalami kecederaan tisu biasa.

Ditanya mengenai ujian saringan Covid-19, Heric berkata ujian Covid-19 hanya dibuat kepada pesakit yang dimasukkan ke wad sahaja.

“Bukan semua kita jalankan ujian saringan hanya mereka yang memerlukan untuk dimasukkan dalam wad sahaja yang kita lakukan saringan tapi kita bagi keutamaan kepada kecederaan yang mereka terima. Anggota HKL telah menggunakan PPE yang sempurna untuk melindungi diri mereka,” katanya.

Heric turut memaklumkan, seramai 300 anggota HKL terlibat dalam pemberian rawatan kepada mangsa kemalangan tersebut.

Dalam kejadian pada pukul 8.42 malam semalam, seramai 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya cedera parah akibat pertembungan dua tren LRT laluan Kelana Jaya.

Kejadian berlaku di dalam terowong antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru, melibatkan satu tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas