KEMENTERIAN Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh mengesahkan seramai 60 rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan telah diselamatkan pihak berkuasa Kemboja pada 22 Februari lalu.
Menurut kementerian, operasi tersebut menyasarkan pusat penipuan dalam talian di Poipet, berhampiran sempadan Kemboja-Thailand.
Jelasnya, selepas diselamatkan, mereka telah dibawa ke pusat tahanan imigresen di Siem Reap untuk proses selanjutnya.
“Lawatan konsular oleh Kedutaan Besar Malaysia telah mengesahkan bahawa kesemua individu berada dalam keadaan baik.
“Setakat ini, seramai 25 mangsa telah selamat pulang ke Malaysia, manakala 11 orang lagi dijadualkan untuk dihantar pulang pada hari ini. Baki 24 individu akan dihantar pulang secara berperingkat dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kementerian Luar Negeri menambah, kumpulan 60 rakyat Malaysia ini adalah berasingan daripada 15 rakyat Malaysia yang turut menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar, yang telah dihantar pulang dari Thailand, kelmarin.
“Pihak kementerian merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Kemboja atas bantuan dan kerjasama menyelamatkan rakyat Malaysia serta memudah cara proses penghantaran pulang mereka.
“Kerajaan Malaysia kekal prihatin terhadap ancaman berterusan yang dibawa oleh sindiket penipuan pekerjaan rentas sempadan,” katanya.
Kementerian itu memaklumkan, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam memerangi pemerdagangan manusia, khususnya dalam menangani penyalahgunaan teknologi oleh sindiket jenayah.
Pendekatan ini katanya, selaras dengan Deklarasi Pemimpin ASEAN mengenai Pembanterasan Pemerdagangan Manusia Berpunca daripada Penyalahgunaan Teknologi yang diterima pakai semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 pada 2023. – WILAYAHKU