SEKURANG-KURANGNYA penyasaran semula subsidi dilaksanakan, menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata penyasaran semula subsidi diesel telah menyaksikan pengurangan jualan sebanyak 23 peratus atau 6.5 juta liter sehari dari stesen minyak di Semenanjung Malaysia.
Amir Hamzah berkata purata jualan harian diesel dari stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia pada awal Jun adalah 28.6 juta liter sehari, manakala pada awal bulan ini, purata jualan harian diesel menurun kepada 22.2 juta liter sehari.
“Kesimpulan ini disokong dengan data yang menunjukkan jualan diesel secara komersial telah meningkat sebanyak 4.8 juta liter sehari bagi tempoh perbandingan yang sama.
“Memandangkan kini harga di stesen minyak adalah pada RM3.35 seliter, pihak industri yang sebelum ini membeli diesel bersubsidi telah beralih balik kepada membeli diesel secara komersial,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr Azhar Ahmad, Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar dan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman yang secara kolektif ingin tahu berkaitan keberkesanan inisiatif Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) selepas penyasaran subsidi diesel.
Berdasarkan bantuan itu, petani kecil dan pekebun kecil yang memenuhi syarat kelayakan dan berdaftar dengan portal GeoAgro Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi, layak memohon untuk bantuan tunai.
“Pada masa yang sama, petani kecil dan pekebun kecil yang layak, turut dapat memanfaatkan bantuan Skim Kenderaan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 bagi kenderaan logistik supaya kos pengangkutan pengeluaran ke pasaran tidak meningkat,” katanya. – BERNAMA