POLIS tidak menolak kemungkinan terdapat elemen khianat berhubung insiden kebakaran yang membabitkan 52 kenderaan di kawasan parkir sebuah blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri di sini, awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner (ACP) Beh Eng Lai berkata, laporan kejadian diterima pada jam 4.21 pagi dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 4.56 pagi.
“Siasatan di lokasi kejadian mendapati kebakaran memusnahkan 48 motosikal serta empat kereta itu dipercayai bermula dari sebuah motosikal sebelum merebak ke kawasan tempat parkir motosikal berbumbung.
“Anggaran kerugian keseluruhan kebakaran tersebut dianggarkan RM300,000. Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Eng Lai, kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap insiden tersebut dengan terperinci.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini diminta tampil memberikan keterangan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Baldev Singh atau Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206,” katanya. – WILAYAHKU