Berita

5,000 peserta berkayuh di PBNR 2023

ANTARA gelagat peserta PBNR 2023 sebelum memulakan kayuhan. Foto: FARIS AZMI/PPj.
- Diterbit 23 Julai 2023 9:00 AM MYT

AKTIVITI berbasikal ­bukanlah ­baharu, malah sejak ­beberapa ­tahun lalu, sukan tersebut ­sering diadakan menggunakan laluan ­mencabar ­seperti bukit, hutan ­serta ­tar ­manakala bagi mereka yang ingin bersantai akan memilih taman rekreasi.

Sehubungan itu, Putrajaya ­menjadi salah satu lokasi ­pilihan dalam kalangan peminat sukan ­berbasikal di mana mereka juga dapat menikmati panorama indah terutama pada ­waktu malam dan ­bagi merancakkan lagi aktiviti ­tersebut, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan kerjasama Syarikat Red Adventure mengadakan Putrajaya Bridge Night Ride (PBNR) 2023 yang bertempat di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya pada Sabtu lalu.

Memasuki edisi ke-7 tahun ini, Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berkata PBNR kali ini melibatkan penyertaan seramai 5,000 peserta.

“Ia melibatkan acara kayuhan ­sejauh tujuh kilometer (km), 12 km, 20 km dan 30 km. Untuk acara kayuhan bagi kategori tujuh km, ia turut disertai oleh tetamu kehormat, tetamu jemputan, rakan media dan barisan selebriti tempatan iaitu Izham Ismail, Ezlynn, Amir Ukays, Salman JKKK dan ramai lagi.

“Melalui acara ini, para ­peserta akan diperkenalkan dengan laluan basikal yang disediakan oleh pihak kami iaitu Putrajaya Cycling Route yang menyediakan laluan berbasikal selamat untuk dilalui terutama ­pada waktu malam,” ujar beliau.

Tambah beliau, program dari pukul 8 hingga 12 malam itu diadakan bertujuan untuk merancakkan industri pelancongan di Putrajaya melalui pelancongan sukan.

“PBNR 2023 merupakan ­acara ­istimewa (signature event) ­berbasikal santai pada waktu malam yang terbesar di mana peserta akan ­merentasi sembilan buah ­jambatan ikonik di Putrajaya,” ujarnya ­reka bentuk binaan jambatan yang ­dilimpahi dengan cahaya lampu ­pada waktu malam akan memberikan peluang kepada para peserta untuk merakam gambar-gambar menarik di media sosial.

Dalam masa sama, Fadlun ­juga memaklumkan setiap ­peserta ­kayuhan bakal menerima ‘Cycling Kit’ yang terdiri daripada t-shirt ­eksklusif ­acara, medal dan juga snek ringan ­selain hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM30,000.

“Istimewanya, PBNR 2023 turut menganjurkan Putrajaya Cycling Fest sebagai acara sampingan berbentuk karnival berkonsepkan rekreasi ­sukan santai keluarga,” ­tambahnya terdapat pelbagai pengisian program ­antaranya pameran outdoor serta rekreasi, booth produk ­pelancongan, demo dan klinik basikal BMX, ­skateboarding, ­sesi perkongsian pengalaman daripada ikon basikal dan pengembara basikal, pameran dan fun ride basikal tua, zon aktiviti kanak-kanak, persembahan seni budaya serta pentas oleh artis jemputan dan banyak lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas