Berita

500 individu hidap PJJ

MAS HAZIRAH (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penghidap PJJ
- Diterbit 30 Ogos 2024 10:50 AM MYT

KIRA-KIRA 500 penduduk di negara ini disahkan menghidap penyakit kronik yang tersenarai dalam kategori penyakit jarang jumpa (PJJ).

Pengarah Yayasan Luth, Mas Hazirah Saifuddin berkata menyedari PJJ memerlukan kos perubatan yang begitu tinggi membuatkan beliau menubuhkan yayasan tersebut.

“Penubuhan Yayasan Luth adalah lanjutan daripada perjuangan anak saya, Mas Muhammad Luth Muhammad Aliff yang telah meninggal dunia kerana menghidap ketumbuhan otak agresif tahap empat, Glioblastoma Multiforme (GBM).

“Yayasan ini juga diwujudkan sebagai sebuah wadah murni untuk menyalurkan bantuan kepada anak-anak kecil di Malaysia yang diuji dengan PJJ agar mereka dapat menerima rawatan dan perubatan dengan segera.

“Penyakit yang jarang ditemui ini memerlukan kos perubatan yang begitu tinggi dan rawatan segera adalah sangat diperlukan demi menyelamatkan nyawa anak-anak yang tidak berdosa ini,” katanya.

Tambahnya, Yayasan Luth yang telah diasaskan pada September 2023 ini telah membantu hampir 200 kanak-kanak yang menghidap PJJ.

“Yayasan ini berdiri teguh dengan sokongan para penasihat perubatan yang budiman, Profesor Dr Thong dan Dr Foo dari Hospital PPUM serta Penasihat Yayasan, Datuk Hatijah Ayob.

“Mereka ini bukan sahaja memberi bimbingan dan harapan, tetapi juga telah membantu saya dalam perjuangan untuk menyembuhkan anak kesayangan saya,” ujarnya.

Mas Hazirah turut menyeru semua pihak sama ada individu, sektor swasta, mahupun korporat, agar tampil membantu mengisi dana demi meringankan beban anak-anak kecil yang teruji ini.

“Memandangkan betapa besarnya kos yang diperlukan untuk merawat penyakit ini, Yayasan Luth yang mewakili ramai pesakit kanak-kanak penyakit jarang jumpa yang sudah ada dan yang mungkin akan bertambah pada masa hadapan, memohon agar semua pihak bertanggungjawab mengambil perhatian serius terhadap penyakit ini, serta bertindak secara proaktif antaranya mewujudkan pusat rawatan, perubatan dan kajian penyakit jarang jumpa di negara ini,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas