PENJAGAAN alam sekitar perlu dijaga dalam membantu mengekalkan keseimbangan ekosistem selain untuk manfaat generasi akan datang.
Menyedari perkara tersebut, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menganjurkan Program Mangrove Planting baru-baru ini.
Menurut UPTM dalam satu kenyataan, ia merupakan inisiatif pihaknya untuk menyahut seruan pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 13,14 dan 15.
“Staf UPTM yang terlibat diberi kesempatan untuk mendalami kepentingan penjagaan muara sungai bagi menggalakkan kawasan ini sebagai kawasan penampan ombak dan mengurangkan hakisan muara sungai yang sering berlaku.
“Penganjuran Program Mangrove Planting ini adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat UPTM yang merangkumkan usaha sama antara Fakulti Perniagaan, Perakaunan dan Sains Sosial (FBASS) dan Pusat Pengajian Siswazah (IGS) dikenali dengan jenama UPTM Cakna.
“Seramai 50 orang sukarelawan dalam kalangan staf UPTM, JPSM, dan JPNS memberi sumbangan besar dengan menjayakan penanaman sebanyak 500 lebih anak pokok bakau yang ditaja sepenuhnya oleh JPSM dan JPNS.
“Kami yakin penanaman bakau ini dapat memberi impak positif kepada alam sekitar melalui perlindungan pesisir pantai dan perkembangan ekosistem bakau,” ujarnya lebih banyak program tanggungjawab sosial korporat seumpamanya akan dijalankan di masa hadapan. – WILAYAHKU