SEBANYAK lima program utama akan diadakan bersempena Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia yang disambut pada minggu pertama Februari setiap tahun.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sebagai langkah untuk menyemarakkan sambutan tersebut, pihaknya akan terus memberikan fokus kepada inisiatif yang memperkukuh keharmonian antara agama.
“Antara program yang akan diadakan sempena sambutan ini termasuklah Jejak Harmoni Metasemesta (14 hingga 16 Februari 2025), Perarakan Harmoni (15 dan 16 Februari 2025), Program Jejak Harmoni (15 Februari 2025), Dialog Harmoni (16 Februari 2025) dan Mesyuarat Jawatankuasa HARMONI (19 Februari 2025),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aaron berkata, sebagai sebuah negara yang menjunjung tinggi prinsip Harmoni Dalam Kepelbagaian, semua pihak mesti bekerjasama untuk memperkukuh ikatan antara agama, etnik dan budaya.
“Keharmonian bukanlah satu keadaan yang wujud secara automatik, tetapi memerlukan usaha berterusan daripada semua pihak untuk mengekalkannya. Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab untuk menjadi ejen perubahan dalam membina Malaysia MADANI yang aman, damai dan sejahtera.
“Faham, Hormat, Terima adalah nilai yang perlu diterapkan dalam setiap lapisan masyarakat, bagi memastikan negara kita terus menjadi contoh kepada dunia tentang bagaimana kepelbagaian agama dan budaya boleh digabungkan untuk mencipta satu negara yang benar-benar harmoni,” katanya.
Beliau berkata untuk memastikan keharmonian antara agama terus dipertingkatkan, beberapa langkah perlu diberi perhatian dan dititikberatkan oleh semua pihak.
“Dialog yang konstruktif antara penganut agama adalah cara terbaik untuk meningkatkan pemahaman dan mengurangkan ketegangan. Terdapat juga cadangan agar lebih banyak forum antara agama dianjurkan di pelbagai peringkat, melibatkan tokoh agama, akademik, pemimpin masyarakat, serta golongan muda. Sesi dialog ini penting bagi memecahkan tembok prasangka yang wujud akibat ketidaktahuan,” katanya.
Tambahnya lagi keharmonian antara penganut agama merupakan satu tonggak penting dalam usaha mewujudkan negara yang sejahtera.
“Ia bukanlah sesuatu yang datang dengan sendirinya, tetapi ia memerlukan usaha yang berterusan daripada setiap lapisan masyarakat, terutamanya pemimpin agama, untuk memastikan prinsip toleransi dan saling menghormati ditegakkan dalam kehidupan seharian.
“Dalam usaha ini, kita perlu memastikan bahawa perbezaan agama tidak menjadi penghalang kepada hubungan baik antara satu sama lain sebaliknya, kita harus memupuk sikap saling menghormati dan menghargai kepercayaan agama masing-masing.
“Keharmonian tidak boleh tercapai jika kita hanya bertoleransi secara pasif, tetapi ia memerlukan komitmen aktif untuk membina hubungan yang kukuh antara komuniti agama, agar kita dapat hidup berdampingan dengan penuh keharmonian.
“Kita harus meletakkan keharmonian sebagai keutamaan, kerana dengan itu sahaja negara kita dapat mencapai kemajuan yang sebenar,” ujarnya.
Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia atau World Interfaith Harmony Week (WIHW) merupakan acara tahunan disambut pada minggu pertama bulan Februari setiap tahun yang telah diiktiraf dalam resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 20 Oktober 2010. – WILAYAHKU