Berita

5 kategori baharu ASMN 2024 diperkenal

- Diterbit 30 Ogos 2024 11:00 AM MYT

ANUGERAH Saintis Muda Negara (ASMN) 2024 memperkenalkan lima kategori baharu berbanding dua penganugerahan sebelum ini.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata lima kategori utama ASMN 2024 adalah biologi, fizik, kimia, perubatan dan kejuruteraan.

“ASMN ini adalah bagi mengiktiraf serta menghargai kerja dan pencapaian yang cemerlang oleh saintis muda dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) STI negara.

“Anugerah ini menggalakkan penjanaan pengetahuan baharu dalam bidang sains untuk memastikan Malaysia berdaya saing dengan negara luar terutamanya dalam bidang R&D,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jelasnya, penganugerahan ini juga merupakan satu persediaan untuk menghadapi cabaran-cabaran masa hadapan dengan mengetengahkan hasil penyelidikan berpotensi dalam menyelesaikan masalah seharian.

“Menerusinya, Malaysia mampu melahirkan saintis-saintis muda negara yang mempunyai daya cipta tinggi dalam meningkatkan ekonomi negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan makmur selaras konsep Malaysia MADANI.

“Sementara itu, pendaftaran calon untuk anugerah-anugerah ini telah dibuka dan boleh dibuat menerusi laman web www.mosti.gov.my sehingga 13 September 2024,” ujarnya.

Terdahulu pada tahun 2023, sebanyak 18 pencalonan bagi ASMN telah diterima di mana sebanyak 11 pencalonan adalah bagi kategori Sains Fizikal dan tujuh pencalonan adalah dalam bidang Sains Hayat.

Penganugerahan ASMN 2023 kategori Sains Hayat telah diberikan kepada kajian bertajuk ‘Nurturing A Green Future: Unleashing the Power of Graphitic Carbon Nitride-Based Photocatalyst for Efficient Artificial Photosynthesis in Revolutionizing Malaysia’s Sustainable Energy Generation and Circular Economy’ oleh ChM Dr Mohamad Azuwa Mohamed daripada Universiti Kebangsaan Malaysia. Manakala kajian bertajuk ‘Advancing Translational Research in Snake Venom Toxinology: Pioneering a Holistic Approach to Combat Snakebite Envenoming in Southeast Asia’ bagi ASMN 2023 kategori Sains Fizikal dimenangi oleh Profesor Madya Dr Tan Kae Yi dari Universiti Malaya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas