Utama

5 cedera dilanggar lelaki amuk, mabuk di Bukit Sentosa

RAKAMAN video memaparkan pacuan empat roda yang dipandu suspek merempuh gerai dan melanggar orang awam di Bukit Sentosa.
- Diterbit 22 Mei 2020 4:11 PM MYT

HULU SELANGOR – Berang cermin sisi kereta diketuk semasa membunyikan hon untuk melepasi jalan sesak berhampiran Jalan Besar Bukit Sentosa di sini petang tadi, seorang lelaki bertindak melanggar orang awam serta tapak penjaja di Bukit Sentosa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.35 petang itu, lima orang awam berumur 40 hingga 50 tahun mengalami kecederaan manakala dua buah kereta, motosikal (2) dan khemah (2) di tapak penjaja rosak akibat dilanggar kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap tindakan seorang lelaki yang mengetuk cermin sisi kereta miliknya semasa dia membunyikan hon.

“Suspek kemudian pergi ke tapak penjaja yang dikumpulkan setempat di Persiaran Orkid, Bukit Sentosa dan melanggar orang awam serta tapak penjaja dalam keadaan mengamuk.

“Mangsa terlibat kini dalam keadaan stabil dan terdapat lima laporan polis dibuat orang awam yang mengalami kecederaan serta kerosakan gerai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Arsad, ekoran kejadian itu, suspek berusia 32 tahun ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, rakaman video orang awam berdurasi 1.08 minit tular di media sosial menunjukkan insiden berkenaaan sejak petang tadi. – WILAYAHKU

KENDERAAN yang dinaiki suspek semasa merempuh orang awam dan gerai penjaja.

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas