Berita

5.4 juta terima SARA bermula 1 April ini

- Diterbit 26 Mac 2025 4:00 PM MYT

PELAKSANAAN Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan diperluas kepada 5.4 juta penerima bermula 1 April 2025 meningkat hampir lapan kali ganda berbanding 700,000 penerima sedia ada.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata penerima yang layak akan menerima bantuan SARA sehingga RM2,100 secara
keseluruhan pada tahun 2025, peningkatan 75 peratus daripada tahun lepas.

“SARA merupakan pendekatan bantuan secara bersasar di mana sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan.

“Penyaluran SARA melalui MyKad juga bersasar kerana kaedah tersebut memastikan golongan sasar menerima manfaatnya dalam bentuk barangan asas,” kata Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan yang sama.

Beliau berkata peluasan tersebut merupakan sebahagian daripada peningkatan peruntukan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA kepada RM13 bilion pada tahun 2025 jumlah tertinggi dalam sejarah penyaluran bantuan tunai Kerajaan kepada rakyat.

Sementara itu, 4.7 juta penerima STR sedia ada yang tidak berada di dalam rekod eKasih, akan menerima bantuan baharu SARA sebanyak RM50 sebulan untuk golongan warga emas tiada pasangan dan RM100 sebulan untuk isi rumah.

“Mulai tahun 2025, penyaluran SARA melalui penggunaan MyKad akan diperluaskan ke negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berbanding hanya di negeri-negeri Semenanjung Malaysia pada tahun 2024.

“Kaedah pelaksanaan yang seragam ini adalah penambahbaikan daripada tahun lalu, berbanding penyaluran bantuan secara tunai dua kali setahun kepada penerima SARA yang bermastautin di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Tambahnya di bawah program SARA, pemanfaat boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai-kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 3,500 buah di seluruh negara, berbanding 700 buah pada tahun 2024.

“Penerima SARA boleh menggunakan kredit yang disalurkan untuk membeli barangan keperluan asas terpilih di bawah kategori barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan, selain daripada barangan makanan asas,” katanya.

Semakan status kelayakan SARA boleh didapati di Portal Rasmi STR, www.bantuantunai.hasil.gov.my manakala maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan pula boleh dirujuk di www.mykasih.com.my. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas