Berita

485 pegawai agensi penguat kuasa dituduh rasuah

- Diterbit 13 Disember 2024 11:28 AM MYT

SERAMAI 485 pegawai agensi penguat kuasa telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan terbabit rasuah, berdasarkan data sejak 2020 sehingga September tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dalam tempoh berkenaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima 8,067 maklumat melibatkan agensi penguat kuasa yang meliputi pelbagai kesalahan.

Menurutnya, daripada keseluruhan maklumat, sebanyak 4,972 adalah maklumat yang berunsur rasuah dan 3,095 lagi yang tidak berunsur rasuah.

“Daripada maklumat berunsur rasuah, sebanyak 1,192 kertas siasatan telah dibuka dan selebihnya iaitu 3,780 diambil tindakan lain seperti tindakan perisikan dan lain-lain tindakan operasi.

“Sepanjang tempoh yang sama SPRM telah membuat sebanyak 485 pertuduhan dan 238 telah disabitkan kesalahan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan mengenai jumlah kes siasatan dan dakwaan terhadap unsur rasuah pegawai penguat kuasa dalam membanteras aktiviti penyeludupan.

Azalina berkata, daripada jumlah kertas siasatan yang dibuka melibatkan agensi penguat kuasa, sebanyak 104 kertas siasatan adalah berkaitan penyeludupan yang membawa kepada 154 tangkapan dan 54 pertuduhan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas