Berita

45 penjawat awam dinilai terima ganjaran lapor kes rasuah

AZAM Baki mempengerusikan Mesyuarat Panel Penilaian Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
- Diterbit 20 September 2024 11:39 AM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat penilaian terhadap 45 orang penjawat awam bagi menerima ganjaran kerana melaporkan perbuatan rasuah.

Ia juga bagi mengiktiraf mereka yang mempamerkan integriti dalam menangani tawaran rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ganjaran itu diberikan susulan surat pekeliling dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara pada 11 Mei 2011 iaitu ‘Garis Panduan Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah’ berkuat kuasa mulai 1 Jun 2011.

“Pemberian ganjaran adalah mengikut nilai suapan yang terlibat, atau nilai rasuah yang diberikan kepada pengadu, berserta dengan sijil penghargaan.

“Bagi nilai suapan yang kurang daripada RM500, maka ganjaran yang akan diberikan adalah nilai minimum RM500 seperti dinyatakan dalam ‘Garis Panduan Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, Ketua Setiausaha Negara pada 10 September 2024 telah menegaskan supaya Petunjuk Prestasi Utama Penjawat Awam mengambil kira tanggungjawab untuk melaporkan rasuah kepada SPRM.

Katanya, Sistem Penilaian Prestasi My Performance dan Demerit Performance Evaluation System (DEEP) akan memasukkan elemen penilaian tersebut.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Panel Penilaian Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Hadir sama Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim; Penguam Cara Negara II, Jabatan Peguam Negara, Datuk Umar Saifuddin Jaafar; Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Mohd Asri Mohamed Ali; Ketua Unit Integriti, Kementerian Kewangan, Kamaruddin M Ripin dan pengarah-pengarah bahagian SPRM. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas