JABATAN Penguatkuasaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah merekodkan sebanyak 435 tindakan sitaan terhadap warga asing di sekitar Pusat Bandar Utara dari Januari hingga Jun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata DBKL juga telah mengeluarkan sebanyak 20 Notis Kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian WPKL) 2016 di atas kesalahan mengambil mana-mana pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah.
“Selain itu, sebanyak 1,723 Notis Kesalahan di bawah Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Kamar Khas di Parlimen pada Isnin.
Menurut Zaliha, DBKL mempunyai bidang kuasa yang terhad, tertakluk kepada aktiviti yang dijalankan tanpa lesen serta premis yang menggajikan pekerja warga asing tanpa kebenaran di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil (Pelesenan Penjaja WPKL) 2016 dan UndangUndang Kecil (Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian WPKL) 2016.
“Lawatan turun padang saya ke Pasar Borong Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu, jam 2.30 pagi mendapati majoriti warga asing yang berniaga di sekitar kawasan pasar borong ini merupakan individu pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), dan sebahagian kecil pula adalah warga asing tanpa izin,” katanya.
Menurut Zaliha tindakan yang hendak diambil terhadap kedua-dua kategori asing ini memerlukan peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa JIM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Atas dasar ini, saya telah bersetuju dengan penubuhan KL Strike Force dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan Bil. 1/2024 pada 27 Mei 2024.
“Task force ini ditubuhkan bagi menangani isu-isu yang melibatkan keselamatan termasuklah isu lambakan peniaga jalanan, penjaja, peniaga kecil, pengemis, gelandangan dan apa-apa isu semasa yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam di Wilayah Persekutuan terutamanya yang disebabkan oleh warga asing,” katanya.
Beliau turut memohon sedikit masa daripada semua pihak untuk melihat pembaharuan dalam penguatkuasaan ke atas isu ini sementara KL Strike Force masih dalam proses untuk diaktifkan.
“Beberapa agensi penguatkuasaan akan dilibatkan secara bersepadu dalam menjalankan operasi membanteras pekerja dan peniaga warga asing sama ada pemegang kad UNHCR atau tanpa dokumen secara besar-besaran sehingga selesai dengan izin Tuan Yang di-Pertua, once and for all,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Zaliha berkata pasukan KL Strike Force yang ditubuhkan dibawah Jawatankuasa Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan akan turut merangkumi pelbagai agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Imigresen akan diperkenalkan secepat mungkin.
“Dengan adanya pasukan itu kelak, ia mampu membantu pihak berkuasa untuk mengambil tindakan pantas terhadap segala laporan yang diterima.
“Pasukan ini nanti akan melaksanakan operasi berkaitan keselamatan dan perkara yang dinyatakan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebelum ini,” katanya. – WILAYAHKU