SEBANYAK 41 buah Muzium Persekutuan dan Negeri di seluruh negara akan melaksanakan Program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM) selari dengan pendekatan nilai Malaysia MADANI iaitu hormat dan keyakinan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaaron Ago Dagang berkata IPIM dirangka dengan menggabungkan pendidikan formal (institusi pendidikan) dan tidak formal (pendidikan muzium) menggunakan pendekatan ‘hands on’ terhadap koleksi muzium sebagai sokongan kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pedagogi.
“Program ini menggunakan Rancangan Pendidikan Muzium berdasarkan koleksi (artifak) yang dirangka khusus mengikut Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Sejarah serta Rancangan Pengajaran Harian (RPH) mata pelajaran Sejarah.
“Menerusi program ini juga dapat memupuk kefahaman dan kesedaran golongan muda terutamanya pelajar sekolah terhadap warisan sejarah dan kepelbagaian budaya yang perlu dihargai dan dipertahankan sebagai identiti nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aaron berkata pembelajaran menerusi koleksi ini memberikan peluang kepada pelajar untuk menggunakan organ deria bagi merangsang dan memaksimumkan tumpuan mereka sekali gus melatih pelajar mengaplikasikan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) sepertimana yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
Permohonan Program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium kini dibuka bermula pada 16 April 2025.
Pihak sekolah atau guru-guru yang berminat untuk menyertai program ini boleh mengemukakan permohonan melalui pautan https://ipim.jmm.gov.my/. Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi urus setia Unit Pendidikan Muzium di talian 03-2267 1000 samb. 111/166.
Program IPIM merupakan anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). – WILAYAHKU