Berita

4,000 unit Residensi MADANI Putrajaya siap menjelang 2028

ANWAR (tengah) ketika melawat model projek perumahan Residensi MADANI Putrajaya.
- Diterbit 5 November 2024 11:05 AM MYT

SEBANYAK 4,000 unit Residensi MADANI Putrajaya dijangka siap dibina menjelang tahun 2028.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, objektif utama projek pembangunan Residensi MADANI Putrajaya adalah untuk menyediakan Perumahan Mampu Milik dalam kategori kos sederhana rendah di Wilayah Persekutuan.

“tujuh projek Residensi MADANI Putrajaya ini terletak di Presint 5, 7, 11, 16 dan 19 iaitu Residensi MADANI Sentral, Serunai, Cemara, Cengkih, Cempaka, Mawar dan Melur.

“Ini merupakan salah satu usaha kerajaan membantu golongan sasar untuk memiliki kediaman yang selesa, persekitaran yang selamat, sihat dan sejahtera.

“Di samping mencapai matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 serta merealisasikan Dasar Perumahan Negara (2018-2025) dapat dicapai di Wilayah Persekutuan di mana keperluan pemilikan rumah pertama yang mampu dimiliki.

“Malahan, kerajaan komited melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan MADANI (SJKP-MADANI) dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM10 bilion bagi membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk memiliki rumah mampu milik dengan jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus daripada harga kediaman rumah ditawarkan kepada pemohon yang layak,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Peluncuran bagi tujuh projek pembangunan Residensi MADANI di Putrajaya pada Isnin.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata kerajaan turut menawarkan pengecualian duti setem sebanyak 100 peratus ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pemilikan rumah pertama dengan harga rumah tidak melebihi RM500,000 menerusi Inisiatif Pemilikan Kediaman Malaysia (i-MILIKI).

“Secara dasarnya, keluasan bagi Residensi MADANI Putrajaya adalah 800 kaki persegi dengan harga jualan RM200,000.

“lanya juga selaras dengan pengumuman Perdana Menteri bahawa pemilik rumah pertama akan mendapat pelepasan cukai sehingga RM7,000 bagi rumah kediaman yang berharga sehingga RM500,000 untuk menggalakkan lebih banyak pemilikan rumah pertama dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kesemua inisiatif ini menunjukkan betapa seriusnya kerajaan dalam membantu rakyat Malaysia untuk memiliki rumah sendiri.

“Adalah menjadi harapan kerajaan agar rakyat dapat memiliki sebuah kediaman yang selesa, berkualiti, lokasi yang sangat strategik di Wilayah Persekutuan Putrajaya terutama bagi golongan berpendapatan rendah (B40),” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata pelbagai kemudahan awam turut disediakan di dalam plot pembangunan ini seperti surau, dewan serbaguna, tadika, taska, ruang niaga, kemudahan gelanggang sukan dan taman permainan kanak-kanak serta tempat letak kereta berbumbung dan sebagainya.

“Tapak pembinaan ini juga berdekatan dengan Pusat Kejiranan iaitu Kompleks Kejiranan, Kompleks Sekolah, taman-taman awam dan kemudahan pengangkutan awam dan mass rapid transit (MRT).

“Orang awam yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Residensi MADANI Putrajaya dan ingin membuat permohonan, boleh melayari maklumat di portal https://residensimadani.jwp.gov.my/, menyemak syarat-syarat permohonan dan membuat pendaftaran terus,” ujarnya.

Terdahulu, Majlis Peluncuran Residensi MADANI Putrajaya telah diadakan di tapak Residensi Sentral, Presint 7, Putrajaya.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ketua Setiausaha Negara; Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas