Berita

4 menu ‘ketagih’ hujung minggu

- Diterbit 1 Disember 2023 2:40 AM MYT

HUJUNG minggu merupakan waktu yang ditunggu-tunggu untuk merehatkan badan setelah penat bekerja seharian. Ia juga merupakan saat untuk menghabiskan masa terluang bersama keluarga tersayang

Malah, biasanya waktu ini juga ramai yang mengambil kesempatan untuk menikmati makanan enak di luar tanpa perlu bersusah payah untuk memasak dan sebagainya.

Untuk itu, Wilayahku menyenaraikan beberapa pilihan gerai dengan menu yang menarik di sekitar anda yang tentunya lazat dan pastinya murah. Apa tunggu lagi, jom kita serbu!

SANDWIC DAGING BALADO

MENU sandwic ringkas biasanya mengetengahkan tuna sebagai inti. Namun menariknya, bagi gerai Roti Si Jalanan yang terletak di Putrajaya ini ia mempertaruhkan pelbagai inti unik berasaskan resipi tradisional Melayu seperti daging balado, ayam kentang kari, tuna mayo, crabstick mayo dan telur mayo.

Uniknya, Roti Si Jalanan ini mengolah menu pasta balado menjadi inti sandwic selain menggunakan kroisan sebagai roti dan pelbagai pilihan roti lain seperti bun, roti john dan roti arab secara ala carte (RM5) atau set (RM15).

Pelanggan juga boleh menambah dua menu sampingan berbeza iaitu potato, salad, salted corn, pasta salad, aglio olio, mac and cheese serta fruit salad.

Info:
Lokasi: Sekitar Putrajaya (sentiasa dikemas kini di laman sosial)
Waktu operasi: 12 tengah hari hingga 2 petang
(Isnin hingga Ahad)
Media sosial: @rotisijalanan

ROTI SOSEJ SOBER

SAUSAGE On Bun Exquisite Recipe atau nama singkatannya Sober Bites merupakan antara yang menjadi buruan pelanggan khususnya di sekitar Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Ia memperkenalkan enam variasi menu roti sosej menggunakan artisanal sosej dan sarung sosej semula jadi daripada usus kambing yang diisi dengan daging kambing, lembu atau ayam bersama campuran rempah ratus.

Antara menu yang terdapat di Sober Bites adalah roti sosej sambal, eggy, cheesy, streaky dan padkrapao dan dijual dengan harga bermula RM9 hingga RM17.

Info:
Lokasi: Jalan Setiawangsa 11A, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur (berdekatan Petronas / Taco Bell Setiawangsa)
Waktu operasi: Selasa hingga Ahad (4 petang hingga 11 malam)
Media sosial: @Soberbites

AYAM GORENG BERHANTU

BUAT penggemar ayam goreng, jangan ketinggalan mendapatkan menu yang menyelerakan ditambah dengan sos cheese atau sos korea buatan sendiri ini serendah RM1.50 sahaja.

Tidak hanya mendapat sambutan daripada penduduk sekitar ia juga turut menjadi tumpuan pelancong asing. Keistimewaannya pernah membuatkan menu ini tular di TikTok.

Selain ayam goreng biasa, ia turut menyediakan kombinasi ayam cheese dan korea iaitu ayam mix cheese + korean, ayam cheese beserta ramen dan ayam korean beserta ramen bermula dengan harga RM13.

Info:
Lokasi: Jalan Pandan Medan, Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur
Waktu operasi: 12 tengah hari hingga selesai (sehingga ayam habis)
Media sosial: @ayamgorengberhantu

NASI BRIYANI KUKUS PADU

NASI Briyani Kukus Padu yang dimasak secara kukus ini mendapat perhatian ramai terutama pengguna di laman TikTok satu ketika dahulu kerana kelazatan resipi turun-temurun daripada bapa pemilik yang berasal dari Parit Buntar, Perak.

Ia disajikan dengan empat jenis lauk-pauk iaitu ayam berempah, ayam masala, kambing kurma dan daging hitam selain turut disertakan air asam utara.

Lebih menarik, Nasi Briyani Kukus Padu ini akan memberikan satu set nasi percuma buat ibu mengandung manakala setiap hari Jumaat pula, pelanggan boleh mendapatkannya dengan harga promosi bermula pukul 11 pagi hingga 1 petang.

Info:
Lokasi: Jalan Suakasih, Tun Hussein Onn, Cheras. (Waze: Nasi Briyani Kukus Padu)
Waktu operasi: 10.30 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Ahad)
Media sosial: @nasibriyanikukuspadu

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas