Berita

4.1 juta pencarum miliki amaun permulaan Akaun Fleksibel, jumlah pindahan RM14.5 bilion

Gambar hiasan
- Diterbit 12 Disember 2024 2:47 PM MYT

SERAMAI 4.1 juta atau 31.6 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah usia 55 tahun memilih untuk mempunyai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel.

Ia melibatkan jumlah perpindahan sebanyak RM14.5 bilion.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sejumlah RM6.6 bilion simpanan pula telah dipindahkan ke Akaun Persaraan.

“Setakat 27 November lalu, jumlah ahli yang telah membuat pengeluaran melalui Akaun Fleksibel adalah seramai empat juta atau 30.5 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli bawah umur 55 tahun dengan jumlah pengeluaran RM11.6 bilion.

“Jumlah baki simpanan keseluruhan Akaun Fleksibel pula adalah sebanyak RM7.4 bilion setakat November ini,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Ah Fang Suan mengenai jumlah pencarum KWSP yang telah memindahkan caruman ke Akaun Fleksibel.

Amir Hamzah berkata, mengambil kira trend pengeluaran Akaun Fleksibel untuk tahun ini, jangkaan pengeluaran untuk tahun-tahun akan datang adalah sekitar RM5 hingga RM7 bilion setahun.

Katanya, jumlah itu adalah minimum jika dibandingkan dengan pertumbuhan saiz dana pelaburan KWSP yang meningkat dalam lingkungan RM100 sehingga RM120 bilion setahun daripada penjanaan pendapatan pelaburan serta aliran masuk caruman bersih yang diterima daripada ahli.

“Jangkaan pengeluaran ini juga adalah jauh lebih rendah berbanding peruntukan baki tunai berpandukan alokasi aset strategik (SAA) iaitu pada julat dua sehingga enam peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP atau bersamaan dengan sekurang-kurangnya RM25 bilion,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas