SEBANYAK 3,555 projek di bawah Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) telah disenarai pendek oleh Kementerian Ekonomi bagi tahun 2024, dengan anggaran kos berjumlah RM198.19 juta.
Menteri Ekonomi dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini berkata, projek berkenaan telah dikemukakan kepada agensi pelaksana untuk semakan kebolehlaksanaan sebelum diluluskan untuk pelaksanaan.
“Sehingga 10 Februari 2025, sebanyak 1,242 projek telah diterima oleh agensi pelaksana selepas melalui siasatan tapak, manakala 753 projek ditolak.
“Selebihnya, 1,560 projek masih dalam proses semakan kebolehlaksanaan sebelum maklumat lengkap dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi bagi tujuan penyaluran peruntukan,” katanya ketika menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH- Batu Pahat).
IKR merupakan inisiatif kerajaan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi pelaksanaan projek infrastruktur kecil di seluruh negara, termasuk jalan raya, sistem saliran, kemudahan awam dan infrastruktur asas lain.
Peruntukan besar yang disalurkan untuk projek-projek ini dijangka memberi impak positif kepada kesejahteraan komuniti setempat dan memperkukuhkan pembangunan sosioekonomi negara. -WILAYAHKU