SERAMAI 3,000 pengunjung menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali peringkat Parlimen Sungai Buloh anjuran bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan berkata kehadiran pengunjung memeriahkan lagi majlis tersebut.
“Program sambutan Deepavali ini adalah kerjasama antara pejabat Parlimen dan pejabat kementerian saya.
“Suasana hari ini adalah suasana madani. Ada Cina, Melayu dan India turut datang ke Rumah Terbuka Deepavali Sungai Buloh,” katanya.
Ramanan turut mengucapkan terima kasih kepada agensi yang hadir seperti AIM dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).
“Cuma tidak lupakan sahabat daripada agensi AIM dan Tekun tetapi kebanyakan 2,500 (yang) datang adalah dari dalam dan luar Sungai Buloh,” katanya.
Orang ramai mula berkumpul di pekarangan Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh seawal pukul 10 pagi.
Kehadiran daripada pelbagai kaum menjadikan sambutan yang dianjurkan itu lebih meriah. – WILAYAHKU