Berita

300 penduduk terlibat bersih PPR Gombak Setia

PENDUDUK membersihkan kawasan dalam Program Quick Win PPR/PA.
- Diterbit 19 Julai 2024 10:10 AM MYT

SERAMAI 300 penduduk berganding bahu dalam aktiviti gotong-royong membersihkan persekitaran kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia sekali gus menyahut seruan menerusi projek Quick Win PA/PPR anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Gombak Setia, Mohd Khair Nasaruddin Mohd khair berkata pihaknya serta ahli jawatankuasa persatuan penduduk telahpun membahagikan tugasan untuk memastikan setiap inci ruang guna dibersihkan.

“Tugasan ini telah diberi awal, ada kumpulan yang mengecat semula tanda jalan untuk keselamatan, mengecat petak parkir, membersihkan kawasan sekitar. Selain itu, kelab belia persatuan penduduk diminta untuk mengecat mural di kedua-dua Blok 41 dan 43,” katanya kepada Wilayahku pada Sabtu.

Menurut Mohd Khair, selain penduduk, petugas DBKL turut turun padang untuk membantu dari aspek operasi, membersihkan halangan dan laluan di setiap tingkat.

“DBKL telahpun memberikan notis 14 hari untuk mengosongkan laluan jalan atau halangan, hari ini mereka datang dan bersihkan mana-mana halangan yang masih ada di sepanjang laluan

“Walaupun notis telahpun dikeluarkan awal masih ada penduduk yang gagal mematuhinya. Petugas DBKL hanya melaksanakan tugas dengan membersihkan kawasan dan laluan di tingkat atas yang sebelum ini menjadi halangan kepada penduduk selain turut mengeluarkan kompaun terhadap penduduk yang engkar,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini persatuan sendiri telah mengadakan program gotong royong namun apabila melibatkan barangan terbuang yang dikumpul ini, ia menjadi sukar berikutan persatuan tidak mempunyai kuasa selain menasihatkan sahaja.

“Jika dibersihkan hari ini, esok ada lagi, ia berterusan dan bagi pihak persatuan, saya dan jawatankuasa telah memberikan nasihat kepada penduduk termasuklah bertemu dan melalui applikasi WhatsApp. Selain itu, notis turut dikeluarkan supaya tidak mengumpul dan meletakkan barangan di mana-mana kawasan namun masih ada yang enggan membersihkan,” katanya.

Tambah Mohd Khair, banyak isu berkenaan dengan permasalahan penduduk yang memerlukan penglibatan semua pihak khususnya tindakan daripada DBKL.

“Untuk perkara yang boleh diselesaikan di peringkat jawatankuasa persatuan penduduk, kita akan lakukan sendiri tetapi untuk perkara yang perlukan penglibatan dan tindakan DBKL, kita akan maklumkan kepada mereka.

“Sebagai contoh isu kenderaan tersadai, saya kira tidak lebih 30 buah kereta buruk tersadai di sekitar kawasan PPR ini selain lebih 30 buah motosikal buruk dan rosak turut diletakkan di sini.

“Kami tidak boleh mengambil tindakan sendiri dan menerusi program Quick Win PA/PPR ini, saya difahamkan DBKL akan menunda kenderaan tersadai secara berperingkat sekali gus tapak parkir sedia ada boleh dimanfaatkan penduduk,” katanya.

Dalam pada itu, Khair berkata penduduk di kawasan ini berdepan dengan ruang parkir kenderaan yang terhad.

Semestinya situasi tidak sama ketika mula-mula berpindah ke kawasan ini pada tahun 1998 lalu di mana tidak banyak penduduk yang memiliki kereta.

“Sekarang ini, apabila anak-anak sudah besar dan bekerja, mereka membeli kereta dan ada satu rumah mempunyai empat buah kereta. Ini menyebabkan ruang parkir yang tidak mencukupi.

Justeru itu, Khair berkata pihaknya mengharapkan parkir bertingkat dapat disediakan bagi memudahkan penduduk di kawasan tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas