Berita

300 asnaf Parlimen Seputeh disantuni

- Diterbit 19 Mac 2024 12:15 AM MYT

SERAMAI 300 asnaf disantuni menerusi Program Nur Ramadan bagi peringkat Parlimen Seputeh hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata selain itu wang sumbangan berjumlah RM60,000 melalui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut diagihkan kepada golongan tersebut di dalam membantu kelangsungan hidup mereka.

“Mudah-mudahan dengan sumbangan kewangan ini serba sedikit dapat meringankan beban penerima dalam menyambut Ramadan dan seterusnya meraikan lebaran tidak lama lagi,” katanya ketika berucap pada Program Nur Ramadan bagi peringkat Parlimen Seputeh hari ini.

Menurut Zaliha, program tersebut merupakan tradisi tahunan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan agensi-agensi di bawahnya sejak tahun 2010 lagi yang dilaksanakan secara kerjasama strategik dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan atau MAIWP bagi menyantuni mereka yang memerlukan, terutamanya golongan asnaf, OKU, warga emas, ibu tunggal dan anak yatim.

“Program di Parlimen Seputeh hari ini juga turut mendapat kerjasama strategik dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Seputeh.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang membantu dari setiap sudut bagi menjayakan program pada hari ini,” ujarnya.

Jelas beliau, JWP sentiasa komited untuk membantu meningkatkan darjat hidup rakyat di Wilayah Persekutuan ini di mana kesemua bantuan dan inisiatif yang diberikan oleh kerajaan telah distruktur dan diselaras di dalam satu flagship yang dinamakan sebagai Program Usaha Jaya Insan (PUJI).

“Insya-Allah, melalui PUJI ini, rakyat akan dapat manfaatnya melalui pelbagai inisiatif yang telah dan akan disalurkan oleh kerajaan, sebagai contoh program pendayaupayaan Ketua atau Ahli Isi Rumah untuk keluar dari kepompong miskin tegar atau miskin bandar dan banyak lagi inisiatif yang akan dilaksanakan.

“Perlu untuk kita pastikan, kesemua rakyat tanpa mengira latar belakang, kaum, agama dan kepercayaan dapat ditingkatkan taraf hidup mereka dengan ‘exit’ program yang bersesuaian atau ‘tailor’ kepada mereka,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas