Berita

3.61 juta murid, pelajar Kumpulan B mulakan sesi persekolahan hari ini

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 11 Mac 2024 1:05 PM MYT

SEBANYAK 3.61 juta murid dan pelajar daripada Kumpulan B memulakan sesi persekolahan 2024/2025 hari ini, daripada keseluruhan 5.05 juta murid dan pelajar di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata Kumpulan B membabitkan Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sesi akademik bagi sekolah dalam Kumpulan A iaitu Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah bermula semalam.

“Di Melaka, ia membabitkan 153,813 murid dan pelajar iaitu 66,547 pelajar sekolah menengah dan 87,256 murid sekolah rendah di 317 sekolah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Merlimau Dua di Jasin, Melaka.

Di ibu negara, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Roslan Abu Hassan berkata sebanyak 225,062 murid dan pelajar mengikuti sesi persekolahan di 291 sekolah.

Di Putrajaya, sejumlah 39,162 murid prasekolah, rendah dan menengah memulakan sesi akademik hari ini.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya Ezaiddin Hussain berkata jumlah itu melibatkan 1,051 murid prasekolah, 23,096 murid sekolah rendah dan 15,015 pelajar sekolah menengah.

“Kemasukan murid darjah satu bagi tahun ini ialah 3,539 orang dan kemasukan pelajar tingkatan satu pula berjumlah 3,778 orang,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati suasana ceria menyambut kedatangan murid-murid di SK Putrajaya Presint 17(1) dengan kehadiran maskot adiwira Sonic dan kartun Mickey Mouse, selain diiringi alunan nyanyian para guru yang mendendangkan lagu pencetus semangat seperti Mulanya Di Sini, Bintang dan Guruku Tersayang.

Di Negeri Sembilan, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Datuk Dr Roslan Hussin berkata sebanyak 174,110 murid dan pelajar memulakan sesi persekolahan di 479 sekolah, manakala Pengarah Pendidikan Pahang Amzan Abd Malek berkata 259,000 murid prasekolah hingga tingkatan enam memulakan sesi persekolahan di 739 sekolah di negeri berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Arifin berkata sebanyak 47,403 murid dan pelajar memulakan sesi persekolahan mereka di 104 sekolah.

Di Sabah, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Datuk Raisin Saidin berkata sesi persekolahan yang bermula hari ini melibatkan 540,891 orang terdiri daripada 319,578 murid sekolah rendah, 216,405 pelajar sekolah menengah dan selebihnya ialah pelajar kolej (tingkatan enam).

Sebanyak 217,886 murid dan pelajar di 397 sekolah rendah dan menengah di seluruh Pulau Pinang memulakan sesi persekolahan 2024/2025 hari ini, menurut Pengarah Pendidikan negeri Abdul Said Hussain yang melakukan tinjauan hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ahmad Badawi di Kepala Batas.

Beliau berkata jumlah itu melibatkan 117,585 murid sekolah rendah, manakala 100,301 ialah pelajar sekolah menengah.

“Murid tahun satu yang direkodkan mendaftar pada sesi persekolahan kali ini adalah sebanyak 21,053 di 270 sekolah, pelajar tingkatan satu pula sejumlah 21,034 orang dari 127 sekolah di seluruh Pulau Pinang,” katanya.

Di Perak, kehadiran maskot beruang, katak dan dinasour T-Rex seawal 7 pagi menceriakan murid di SK Tasik Damai selain kesanggupan ibu bapa mengambil cuti bagi menemani anak masing-masing khususnya yang memasuki tahun satu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas