Berita

3.4 juta pencarum KWSP buat pengeluaran Akaun Fleksibel berjumlah RM8.9 bilion

- Diterbit 25 Julai 2024 3:42 PM MYT

SERAMAI 3.4 juta atau 26.2 peratus daripada jumlah 13.1 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah 55 tahun telah membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel yang melibatkan jumlah sebanyak RM8.9 bilion ringgit setakat 19 Julai tahun ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pengeluaran daripada Akaun Fleksibel tidak memberi kesan yang ketara kepada KWSP kerana jangkaan jumlah pengeluaran oleh ahli adalah dalam lingkungan alokasi tunai dan pasaran wang KWSP.

“Di bawah Alokasi Aset Strategik (SAA) semasa, KWSP telah mengalokasikan pelaburan instrumen tunai dan pasaran wang antara dua hingga enam peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP.

“Seterusnya, strategi alokasi pelaburan di bawah SAA akan dikaji secara berkala untuk mengambil kira unjuran aset, liabiliti dan kedudukan kecairan KWSP serta mengambil kira kesan daripada penstrukturan semula akaun KWSP,” katanya pada sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Puan Anna Bell @ Suzieana Perian mengenai peratusan pencarum yang memilih untuk memindahkan caruman ke dalam Akaun 3 dan membuat pengeluaran
sehingga kini serta implikasi dari segi ekonomi.

Tambah Amir Hamzah, dari segi implikasi kepada ekonomi negara pula, jangkaan awal pengeluaran Akaun Fleksibel pada tahun pertama adalah sekitar RM15 bilion ringgit iaitu kira-kira 0.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal Malaysia untuk tahun 2023.

“Namun begitu, kesan sebenar pengenalan Akaun Fleksibel kepada pertumbuhan KDNK negara akan bergantung kepada beberapa faktor termasuk kecenderungan dalam cara perbelanjaan ahli,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurut Amir Hamzah, pengurusan KWSP masih mampan walaupun sebanyak RM145 bilion telah dikeluarkan oleh pencarum ketika pandemik Covid-19.

“Jumlah itu tidak termasuk pengurangan kadar caruman ketika Covid-19 yang diturunkan menyebabkan sebanyak RM10 bilion yang sepatutnya dicarum kepada KWSP tidak dimasukkan ke dalam akaun KWSP.

“Saiz dana KWSP masih besar, setakat ini aset bawah kawal selia KWSP RM1.2 trilion, jadi walaupun pengeluaran besar tidak menjejaskan kewangan KWSP,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas