Berita

29 ular sawa dalam longkang restoran

- Diterbit 8 Ogos 2024 12:15 PM MYT

SEBANYAK 29 ekor ular sawa ditangkap dalam saliran longkang berdekatan sebuah restoran di Seksyen 20, Shah Alam malam tadi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 9.56 malam.

Beliau berkata susulan itu, seramai enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik sahaja tiba, didapati 28 anak ular sawa yang dipercayai baru menetas serta seekor induk berada dalam saliran longkang berkenaan.

“Bomba kemudiannya menangkap semua ular sawa itu menggunakan penjerut,” katanya dalam satu kenyataan media.

Ahmad Mukhlis berkata operasi menangkap ular itu mengambil masa 12 minit sebelum semua tangkapan dilepaskan di tempat yang selamat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas