29 Badan Bukan Kerajaan (NGO), Persatuan Kelab dan Sukan di bawah Wilayah Persekutuan menerima bantuan kewangan berjumlah RM217,000 menerusi Program Pembangunan Komuniti Wilayah Persekutuan, hari ini.

Pengerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Datuk Ramlan Shahean@Askolani berkata, sumbangan bantuan kewangan ini diberikan kepada persatuan sukan, kelab dan NGO yang telah bedaftar, beralamat serta beroperasi di Wilayah Persekutuan (WP).
“Mereka ini adalah persatuan-persatuan yang diwujudkan dibawah akar umbi MSWP.
“Bantuan secara langsung oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ini diberikan sebagai wang tambahan untuk membantu mereka menjalankan program yang dapat mewujudkan warga kota yang aktif, sihat , ceria dan sejahtera melalui aktiviti persatuan dan kemasyarakatan selaras dengan moto Wilayah Persekutuan ‘Wilayah Prihatin, Sihat dan Selamat’.
“Saya berharap mereka (Persatuan, Kelab dan NGO) akan memanfaatkan kewangan tersebut dengan sebaiknya bagi kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan,” katanya kepada Wilayahku.
Beliau yang mewakili Menteri Wilayah Persekutuan ditemui selepas menyampaikan sumbangan bantuan kewangan Program Pembangunan Komuniti (sukan) kepada Persatuan Sukan, Kelab dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) WP di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), petang tadi.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Atlet Wilayah Persekutuan sedang melakukan persiapan bagi menghadapi kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) yang bakal berlangsung pada tahun ini.
“Apa jua pertandingan yang kita sertai pastilah sasarannya adalah untuk menang. Kita akan usaha sebaik mungkin untuk mencapai target itu walau bagaimanapun jika para atlet sudah berusaha sedaya upaya tetapi tidak dapat mencapai target tersebut, kita tidak boleh marah dan kecewa kepada mereka.
“Kita akan terus menyokong untuk mereka sentiasa positif dan bersedia untuk menghadapi acara tersebut,” jelasnya yang turut memberitahu 25 jenis sukan akan dipertandingkan dalam pertandingan Sukma itu. – WILAYAHKU