Berita

288 kes seksual kanak-kanak dalam talian enam bulan pertama 2024

TEO NIE CHING ketika sidang media Forum Girls in ICT 2024 hari ini.
- Diterbit 15 Ogos 2024 4:19 PM MYT

KES seksual dalam kalangan kanak-kanak semakin membimbangkan di negara ini apabila menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun lalu.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, kes kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak menerusi media sosial dilaporkan meningkat kepada 525 kes tahun lalu berbanding 360 kes pada 2022.

“Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), untuk enam bulan pertama tahun ini sahaja sebanyak 288 kes kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak menerusi media sosial dilaporkan.

“Apa yang lebih mengejutkan, 94 peratus remaja di negara ini yang berusia 12 hingga 17 tahun berada dalam talian dan keselamatan mereka pada zaman digital hari ini perlu menjadi kebimbangan utama.

“Ini kerana kanak-kanak di Malaysia semakin terdedah kepada penderaan seksual dalam talian, eksploitasi dan pelbagai pengalaman yang berbahaya,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berkata kes judi dalam talian turut mencatatkan peningkatan daripada 18,814 pada tahun 2023 kepada 62,403 untuk kira-kira tujuh bulan pertama tahun ini.

“Sebanyak 24,453 kandungan penipuan dalam talian dan scam juga sudah dibuang pada tempoh berkenaan tahun ini berbanding hanya 6,297 pada tahun lalu.

“Malangnya jumlah jenayah siber terus meningkat walaupun kita terbabit dengan platform media sosial. Untuk itu, Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bakal melancarkan Kempen Kesedaran Dalam Talian peringkat kebangsaan.

“Inisiatif itu untuk mendidik masyarakat terhadap penggunaan Internet yang lebih bertanggungjawab, positif dan produktif,” katanya semasa sidang media Forum Girls in ICT (GICT) 2024 hari ini.

Forum untuk memperkasakan lagi penyertaan wanita dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) anjuran MCMC itu dihadiri lebih 300 peserta termasuk peneraju industri dan pelajar universiti tempatan.

Nie Ching berkata jurang penyertaan antara tenaga kerja lelaki dan wanita di negara ini kekal ketara.

“Tenaga kerja wanita di Malaysia adalah pada tahap 51.6 peratus manakala tenaga kerja lelaki pula 78 peratus. Justeru, adalah penting untuk menyokong wanita dan gadis di negara ini menceburi bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) kerana ia bukan sahaja mengenai kesaksamaan tetapi juga mengenai membuka potensi yang akan memacu inovasi serta pertumbuhan ekonomi.

“Menggalakkan mereka untuk meneruskan pendidikan dan kerjaya dalam bidang STEM adalah pelaburan untuk masa depan negara.

“Kerajaan percaya bidang ICT dan STEM tidak lagi bergantung kepada kekuatan fizikal justeru meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang ini akan meningkatkan kadar buruh wanita Malaysia dengan berkesan, ” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas