Berita

282 pelajar teruja terima kelengkapan sekolah

AHLI Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sumbangan ini diharap dapat memberi manfaat kepada pelajar-pelajar untuk digunakan sebaik mungkin.
- Diterbit 25 Februari 2025 5:37 PM MYT

SERAMAI 282 daripada hampir 3,000 pelajar di semua sekolah menengah harian di Parlimen Bandar Tun Razak menerima sumbangan persekolahan berbentuk sebuah beg sekolah, set peralatan alat tulis dan sumbangan wang tunai.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sumbangan ini diharap dapat memberi manfaat kepada pelajar-pelajar untuk digunakan sebaik mungkin.

“Di kesempatan ini juga saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Selatan, Pejabat Pendidikan Daerah Bangsar Pudu yang memberi kerjasama bagi menjayakan program pada kali ini.

“Sesungguhnya Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar Pudu merupakan rakan strategik pejabat Parlimen dalam usaha kerajaan mengharapkan ibu bapa menitik beratkan pendidikan kepada anak-anak untuk meraih kejayaan pada masa depan,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Persekolahan Pelajar-Pelajar Tingkatan 5 tahun 2025.

AHLI Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap sumbangan ini diharap dapat memberi manfaat kepada pelajar-pelajar untuk digunakan sebaik mungkin.

Menurut Wan Azizah pendidikan sangat penting, bukan sahaja untuk diri anak-anak itu sendiri, sebaliknya mampu merubah nasib keluarga agar lebih baik pada masa akan datang.

Katanya, pendidikan adalah merupakan tiket penting dalam mengubah kehidupan.

“Pendidikan dan pembelajaran yang berterusan di setiap peringkat sekolah rendah hinggalah ke peringkat institusi pengajian tinggi dapat membuka peluang pekerjaan cerah seterusnya menjamin kehidupan yang lebih baik.

“Saya yakin para penerima sumbangan pada hari ini adalah dari kalangan pelajar yang cerdik dan pintar. Jadi belajarlah bersungguhsungguh sehingga berjaya.

“Tanggungjawab untuk menentukan masa depan anak-anak bukanlah hanya semata-mata terletak pada bahu pendidik sahaja, ibu bapa dan pelajar perlu dibekalkan dengan usaha yang gigih dan disertai dengan doa dan tawakkal adalah ramuan untuk mencapai sesuatu kejayaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata program itu merupakan julung-julung kali diadakan khusus kepada semua pelajar tingkat 5 di 10 buah sekolah harian di Parlimen Bandar Tun Razak.

Beliau berkata program itu merupakan ilham dan keprihatinan Wan Azizah yang mahukan kelainan kepada penerima.

“Saya secara peribadi ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Wan Azizah yang sangat peka dan prihatin tiap kali tiba musim persekolahan.

“Program ini bertujuan meraikan pelajar-pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan memulakan musim persekolahan dengan penuh ceria sekali gus meringankan beban ibu bapa,” katanya.

Sebelum ini satu majlis penyerahan sumbangan persekolahan telah diadakan di Dewan Mastika Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang melibatkan semua sekolah rendah dan menengah dalam Parlimen Bandar Tun Razak.

Pejabat Bandar Tun Razak telah memperuntukkan sebanyak RM450,000 bagi menjayakan program Back To School yang merupakan antara acara tahunan yang diadakan setiap kali tiba musim cuti persekolahan. WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas