SEBANYAK 281 lokasi ‘lorong tikus’ dikenal pasti di dalam kawasan tanggungjawab Pasukan Gerakan Am (PGA) yang digunakan bagi aktiviti jenayah rentas sempadan.
Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), antara negeri yang dikesan mempunyai lorong tikus adalah Perlis, Kedah, Selangor, Johor, Kelantan, Sarawak dan Sabah.
“Berdasarkan hasil kajian PGA berkaitan lorong tikus, persempadanan Malaysia (Kelantan) dan Thailand (Naratiwat) mencatatkan jumlah yang tertinggi iaitu sebanyak 128 lorong tikus meliputi 46 peratus bagi keseluruhan kajian,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
Kementerian itu menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad mengenai pelan tindakan bersepadu kementerian dalam menangani jenayah penyeludupan di sempadan negara.
KDN berkata, kepelbagaian bentuk muka bumi seperti kawasan berbukit, hutan tebal dan kawasan perairan menjadi cabaran utama bagi kawalan keselamatan sempadan.
Jelasnya, bagi mengukuhkan lagi kedaulatan Malaysia berkaitan isu persempadanan, semua pintu keluar masuk sempadan telah diperketatkan.
Walau bagaimanapun katanya, terdapat beberapa laluan tidak sah atau lorong tikus telah dikenal pasti menjadi laluan kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
“Sempadan yang panjang dengan kewujudan lorong tikus boleh berubah pada bila-bila masa menyebabkan penugasan kawalan sempadan berdepan tugas getir dalam menjalankan operasi pencegahan 24 jam setiap hari,” katanya.
KDN menambah, antara tindakan yang telah diambil adalah operasi secara berterusan di kawasan tanggungjawab, memusnahkan jeti haram yang digunakan sebagai laluan tikus, risikan terperinci di kawasan laluan haram serta memantau kawasan yang berpotensi untuk dijadikan laluan haram.
Selain itu katanya, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai sokongan semasa operasi, libat urus bersama beberapa kerajaan negeri bagi membendung jenayah rentas sempadan dan rondaan bersama di sempadan seperti Combined Force Border Patrol (CFBP). – WILAYAHKU