Berita

HARMONI bukan jawatankuasa baharu, ditubuhkan sejak 2020

- Diterbit 20 Februari 2025 3:30 PM MYT

KEWUJUDAN Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) yang mencetuskan kritikan khususnya di media sosial bukanlah satu jawatankuasa baharu ditubuhkan kerajaan.

Sebaliknya jelas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, ia telah bermula sejak 14 Ogos 2020.

Katanya, ini selepas penjenamaan semula daripada Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman Antara Penganut Agama (JKMPA) yang ditubuhkan bermula 2010-2019.

“Bilangan keanggotaan dan komposisi jawatankuasa ini adalah sama sejak Januari 2021 iaitu 10 wakil Islam dan 15 wakil bukan Islam.

“Fungsi jawatankuasa ini antaranya mencadangkan kepada kerajaan berhubung dengan pelaksanaan strategi yang bersesuaian dan berteraskan nilai-nilai murni keagamaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis,

Sirajuddin berkata, ia berperanan dalam meningkatkan kefahaman dan keharmonian mengenai kepelbagaian agama dan melaksanakan secara bersama aktiviti-aktiviti kesedaran serta keharmonian antara penganut agama demi manfaat masyarakat.

“Sehubungan itu JAKIM menyeru semua pihak agar bertanggungjawab serta tidak mempolemikkan jumlah keanggotaan ahli HARMONI untuk tujuan tertentu yang boleh membangkitkan kegelisahan awam,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas