Berita

PETRONAS bukan syarikat semenanjung

- Diterbit 21 Disember 2024 5:05 PM MYT

SYARIKAT Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) sepatutnya diiktiraf sebagai syarikat minyak nasional dan bukannya syarikat “semenanjung” seperti yang digariskan di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1947.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada masa ini Sarawak dan Kerajaan Persekutuan bersetuju mengenai peranan PETRONAS dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dalam industri minyak dan gas di rantau ini.

“Ia bukan syarikat semenanjung. Saya sudah jelaskan, tidak ada dua hala mengenainya.

“Oleh itu, adalah penting bagi PETRONAS untuk diiktiraf sebagai syarikat minyak nasional, yang memenuhi semua kewajipan kontrak tanpa kompromi,” katanya semasa temu bual dengan ketua pengarang di Subang Jaya hari ini.

Beliau menegaskan penting bagi PETRONAS untuk mengiktiraf keperluan untuk menyokong Petros dan membenarkannya muncul sebagai pemain industri penting serta kedua-dua entiti perniagaan itu mesti bekerjasama.

“Saya fikir ini pada dasarnya adalah parameter yang luas. Mereka mengiktiraf peraturan negara. Kami mengiktiraf peraturan negeri dan kami harus bekerjasama,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Sebelum ini, Sarawak telah memutuskan syarikat petroleum miliknya, Petros akan mengambil alih semua aktiviti perdagangan gas asli di negeri itu mulai 1 Julai lalu.

Walaubagaimanapun, PETRONAS meminta penangguhan, dengan menyatakan kebimbangan terhadap kesan pengagihan gas ke loji LNG di Bintulu.

Sarawak kemudian memberi PETRONAS lanjutan tiga bulan untuk memuktamadkan pengaturan penyeliaan bagi pengedaran gas di negeri itu dengan Petros.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas