PIHAK berkuasa termasuk polis digesa membuat siasatan penuh bagi mengambil tindakan terhadap pelaku yang disyaki membunuh kucing secara kejam baru-baru ini.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata, beliau sangat kesal dengan kejadian itu dan berharap siasatan itu dapat mengenalpasti punca untuk memastikan kejadian seperti itu tidak berlaku lagi.
Beliau turut memaklumkan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga kesal dengan kejadian tersebut.
“Beliau (Wan Azizah) mahu tindakan serta-merta dan siasatan menyeluruh kematian kucing yang ngeri di Universiti Malaysia (UM).
“Ini tentang nilai kemanusiaan dan telah langgar undang-undang sedia ada,” katanya dalam sidang medianya.
Dalam pada itu, Azman menggesa UM meningkatkan lagi peranan dan keberkesanan entiti UM Animal Guardians yang telah ditubuhkan dengan turut melibatkan pihak-pihak yang mempunyai kepakaran yang berkaitan termasuk persatuan-persatuan pencinta haiwan, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan lain-lain yang sesuai.
“Wan Azizah juga meminta segera dapatkan maklumat ini agar tindakan harap pihak berwajib kuasa dan pihak universiti dalam membuat siasatan terperinci.
“Ini untuk membawa mereka yang bertanggungjawab melakukan perkara ini ke muka pengadilan,” katanya.
Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Dr Arie Dwi Andika berharap jika ada elemen jenayah melibatkan perlakuan manusia, pihak berkuasa harus ambil tindakan segera.
“Sesiapa tak boleh bunuh haiwan dengan apa cara sekalipun.
“Sebenarnya apa kita perhatikan mahukan bukan kenyataan tergesa pihak berkuasa tetapi satu siasatan sebelum kenyataan dikeluarkan. Haiwan tersebut mati bukan kerana serangan haiwan lain,” katanya.
UM semalam telah membuat laporan polis berhubung insiden seekor kucing yang ditemui mati dalam keadaan mengerikan dalam kawasan kampus.
Menerusi satu kenyataan semalam, UM memaklumkan pihaknya amat prihatin terhadap perkembangan membabitkan kematian ngeri beberapa ekor kucing sekitar kampus serta komited untuk memastikan kawasan kampus menjadi persekitaran yang selamat.
UM juga berkata pada Ogos lepas, pihaknya meluluskan penubuhan ‘Universiti Malaya Animal Guardians’, satu inisiatif yang bertujuan menangani isu haiwan terbiar dalam kampus.
Sebelum ini, media melaporkan dua ekor kucing ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM. – WILAYAHKU