Berita

27,005 kandungan palsu diturunkan dari 2022 hingga 2025 dari platform media sosial

SEJUMLAH 4,008 kandungan berita palsu direkodkan pada tahun ini. - Gambar hiasan
- Diterbit 26 Mac 2025 2:30 PM MYT

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan proaktif memantau ruangan media sosial yang membabitkan kepentingan awam, jenayah, salah guna, ancaman, provokasi dan sebagainya.

Kerjasama dengan platform media sosial dan agensi penguatkuasaan turut giat dijalankan bagi menangani penyebaran maklumat palsu.

Dari 2022 hingga 15 Februari 2025, sebanyak 27,005 kandungan berunsur palsu telah diturunkan penyedia platform.

Selain daripada tindakan penguatkuasaan, kerajaan juga telah membangunkan portal semak fakta dikenali sebagai Sebenarnya.my oleh MCMC dan MyCheck.My oleh Bernama untuk memperjelas dan memperbetulkan maklumat palsu serta mengesahkan kesahihan maklumat.

MCMC turut melancarkan Chatbot Sebenarnya.my yang dikenali sebagai Artificial Intelligence Fact-check Assistant (AIFA) yang dapat membantu rakyat menyemak dan mendapatkan maklumat sahih dengan cepat dan mudah.

“MCMC telah melancarkan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian pada 21 Januari lalu bertujuan meningkatkan tahap kesedaran mengenai keselamatan dalam talian serta bagi mengelakkan orang ramai menjadi mangsa jenayah dalam talian.

“Ini termasuk penipuan membabitkan manipulasi AI seperti ‘deep fake’ dan seterusnya mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat,” ujar Kementerian Komunikasi menerusi Jawapan Lisan di Dewan Negara, semalam.

Selain itu, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) selaku penyiar rasmi kerajaan turut melaksanakan program advokasi yang bersesuaian bagi mendidik rakyat supaya tidak tertipu atau terkeliru dengan maklumat disediakan pihak tidak bertanggungjawab dengan memanipulasi penggunaan kecerdasan buatan
(AI).

Program dan hebahan dilaksanakan secara berterusan melalui pelbagai kaedah agar rakyat dapat membezakan antara maklumat sebenar dengan palsu yang disebarkan menggunakan AI.

Antara kaedah digunakan untuk mendidik masyarakat berkaitan AI adalah melalui pelaporan berita TV, berita radio dan bicarawara.

Bagi memastikan ia lebih mudah dan dekat dengan penonton dan pendengar RTM, pesanan khidmat awam (PKA), kapsul, promo, trailer dan klip video
pendek turut disiarkan sebagai selingan dalam program yang disiarkan di semua platform media RTM.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas