Berita

268,887 Ketua Isi Rumah terima manfaat Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR)

- Diterbit 3 Disember 2024 10:56 AM MYT

KERAJAAN telah membelanjakan sebanyak RM13.4 juta menerusi program Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) bagi melindungi seramai 268,887 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terdiri daripada golongan miskin tegar dan miskin di dalam eKasih.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata SIKR yang bermula dari tahun 2022 yang memberi perlindungan kepada semua Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar yang berdaftar bagi membantu kumpulan rentan dan memastikan kebajikan Ahli Isi Rumah (AIR) terpelihara sekiranya berlaku sesuatu risiko seperti kematian ketua keluarga.

“Sehingga 31 Oktober 2024, seramai 1,351 orang waris telah membuat tuntutan dan menerima manfaat perlindungan berjumlah RM14.05 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawap soalan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol di Dewan Negara semalam.

Menurut Zaliha, kerajaan turut menyediakan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dengan peruntukan sebanyak RM50 juta yang memanfaatkan lebih 400 ribu suri rumah wanita yang berdaftar di dalam sistem eKasih.

“Keberkesanan program-program yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan terbukti bila mana iltizam Kerajaan untuk menoktahkan miskin tegar dan menyediakan taraf hidup yang wajar telah dicapai pada 29 Julai 2024.

“Semua 14 negeri telah berjaya mencapai sifar miskin tegar iaitu locked figure Fasa I seramai 126,372 KIR telah berjaya dikeluarkan daripada miskin tegar,” katanya.

Zaliha memberitahu, bagi meneruskan usaha ini, locked figure Fasa II seramai 22,893 KIR telah dikunci dan sehingga 21 November 2024 dan menerusi rekod eKasih telah menunjukkan baki miskin tegar adalah sebanyak 840 KIR dengan penurunan sebanyak 22,053 KIR (96.3peratus).

Tambah Zaliha, jaringan perlindungan sosial yang komprehensif dan berkesan dirangka untuk membantu golongan yang memerlukan seperti mereka yang kehilangan pekerjaan, mengalami penyakit, hilang upaya dan usia tua.

“Ia merangkumi penggubalan dasar dan pelaksanaan program yang memberi perlindungan kepada individu dan keluarga ketika berhadapan dengan risiko.

“Sehingga kini kerajaan telah dan sedang melaksanakan kira-kira 728 program perlindungan sosial di peringkat Persekutuan, Negeri dan masyarakat sivil (CSO) serta organisasi lain,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas