KIRA-kira 2,585 unit pengecas kenderaan elektrik (EV) telah dipasang di seluruh negara menyaksikan peningkatan sebanyak 12.5 peratus daripada suku pertama 2024.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata berdasarkan kepada maklumat daripada Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), sehingga 25 Jun 2024, daripada jumlah yang dinyatakan, 610 unit adalah jenis DC (Direct current), dan baki 1,975 unit adalah jenis AC (Alternating current).
“Taburan pengecas EV adalah meliputi kesemua negeri kecuali Wilayah Persekutuan Labuan. Maklumat terperinci dalam Dashboard Malaysia Electric Vehicle Charging Network (MEVnet) yang dibangunkan oleh PLANMalaysia.
“Jumlah pengecas ini adalah mencukupi untuk menampung kegunaan kira-kira 17,000 unit Battery Electric Vehicle (BEV), serta kira-kira 11,000 unit Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV) yang berdaftar atas jalan sehingga kini. Tambahan pula, pengguna EV dan PHEV dapat mengurangkan kebergantungan kepada pengecas EV yang disediakan untuk kegunaan awam dengan memasang kemudahan pengecas EV di rumah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang bertanya mengenai jumlah stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) yang telah berjaya dipasang di seluruh negara dan adakah ianya mampu mencapai sasaran 10,000 titik pengecasan menjelang 2025 seperti mana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021- 2030.
Menurut Tengku Zafrul, selaras dengan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB), Kerajaan telah mensasarkan untuk menyediakan sejumlah 10,000 unit kemudahan pengecas EV untuk kegunaan awam pada tahun 2025, di mana sasaran ini telah diwar-warkan kepada pemain industri.
“Sasaran kemudahan pengecas EV jenis DC (Direct Current) juga telah ditingkatkan daripada 1,000 unit kepada 1,500 unit daripada keseluruhan 10,000 kemudahan pengecas EV awam yang disasarkan pada 2025,” katanya.
Beliau berkata dalam belanjawan tahun 2023, Gentari, TNB dan TESLA telah memberi komitmen pelaburan sebanyak RM170 juta untuk membangunkan infastruktur pengecasan EV dan setakat ini, Gentari dan TNB telah membelanjakan kira-kira RM80 juta bagi tujuan tersebut.
“Suntikan dana daripada syarikat-syarikat swasta ini telah memberi keyakinan kepada rakyat untuk menggunakan EV dan seterusnya menarik semakin banyak syarikat OEM menawarkan model-model EV dengan harga yang kompetitif.
“Pada masa yang sama, keadaan ini turut menarik semakin banyak syarikat menceburi aktiviti penyediaan kemudahan pengecas EV, di mana sehingga kini terdapat lebih kurang 30 syarikat CPO beroperasi dalam pasaran,” katanya.
Jelas beliau, Persatuan Industri Pengecas EV (PIPEV) turut memainkan peranan yang penting dalam membantu Kerajaan merealisasikan sasaran yang ditetapkan dan persatuan tersebut telah giat bekerjasama dengan agensi Kerajaan bagi memastikan masalah atau kekangan yang dihadapi dalam proses pemasangan pengecas EV dapat ditangani dengan berkesan dalam masa yang
singkat.
“Hasilnya, sebagai contoh, permohonan lesen stesen pengecas EV dapat diproses oleh Suruhanjaya Tenaga dalam masa kurang dua minggu dan aktiviti pemasangan pengecas di sepanjang lebuh raya PLUS di lokasi-lokasi yang dikenalpasti oleh PLUS berpotensi dapat dilaksanakan dalam masa yang lebih singkat,” katanya.- WILAYAHKU