BERPERANAN membangunkan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) terus membantu pelajar yang kurang berkemampuan melanjutkan pengajian.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif YWP, Dr Abdul Basir V Kunhimohamed, seramai 250 pelajar telah dipilih untuk menerima Skim Bantuan Awal Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) YWP.
“Setiap pelajar menerima sumbangan sebanyak RM700 secara one-off, yang diharapkan dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan awal seperti pembelian buku, pendaftaran dan keperluan lain sebelum memulakan sesi pengajian.
“Seramai 250 pelajar telah dipilih sebagai penerima manfaat daripada skim ini dengan jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM175,000,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Cek Skim Bantuan Awal IPTA & IPTS YWP bertempat di Dewan Masjid Kampong Baru Kuala Lumpur pada 5 Disember lalu.
Tambahnya minggu lalu juga pihak YWP bersama kakitangan Maybank turut memberikan sumbangan Bantuan Awal IPT kepada 27 pelajar dari Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.
Abdul Basir berkata pihak YWP sentiasa komited untuk menyokong pelbagai inisiatif pembangunan sosial, pendidikan dan kebajikan yang memberi impak positif kepada masyarakat.
“Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang yang mampu mengubah nasib seseorang, keluarga dan masyarakat.
“Oleh itu, usaha seperti ini perlu diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa hadapan agar lebih ramai golongan muda yang berbakat dapat merealisasikan potensi mereka,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para penerima untuk manfaatkan bantuan yang diterima sebaiknya.
“Saya mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya. Gunakanlah bantuan ini sebaik-baiknya untuk melengkapkan diri anda dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa hadapan.
“Anda semua adalah harapan keluarga, masyarakat dan negara. Sekali lagi saya ingin menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis ini dan semoga usaha kita diberkati dan dirahmati Allah SWT,” katanya.
Untuk rekod, Skim Bantuan Awal IPTA & IPTS ini merupakan salah satu inisiatif YWP dengan sokongan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di WP Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melanjutkan pengajian tanpa dibebani masalah kewangan. – WILAYAHKU