Putrajaya

250 pelajar terima bantuan PPj

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menyampaikan bantuan kelengkapan persekolahan kepada pelajar.
- Diterbit 21 Februari 2025 1:29 PM MYT

DALAM usaha meringankan beban keluarga asnaf dan golongan B40 di Putrajaya, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) tampil membantu melalui Program ‘Back to School’ sempena Hari Terbuka Putrajaya pada Khamis lalu.

Seramai 250 orang pelajar dari sekolah rendah dan menengah menerima bantuan persekolahan dalam satu Majlis Penyampaian Bantuan Jom Balik Sekolah bertempat di Dewan Seri Siantan, Kompleks PPj, Presint 3, Putrajaya.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud, pemilihan penerima dibuat berdasarkan keperluan yang diuruskan melalui sistem e-Kasih dan kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), dengan mengambil kira pendapatan per kapita keluarga yang kurang daripada RM600 sebulan.

“Program ini bertujuan untuk memberi sokongan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan, bagi memastikan mereka dapat memulakan tahun persekolahan dengan penuh semangat.

“la juga merupakan simbolik komitmen kerajaan untuk terus memastikan kesejahteraan rakyat, terutamanya golongan yang kurang bernasib baik.

“Baucar bernilai RM100 diserahkan kepada setiap penerima, yang boleh digunakan untuk membeli kelengkapan sekolah, pakaian seragam, beg sekolah dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata, bantuan ini bukan sahaja bertujuan untuk meringankan beban kewangan ibu bapa, tetapi juga sebagai motivasi kepada pelajar agar lebih bersemangat untuk menghadiri sekolah, sekali gus membangkitkan harapan dan cita-cita mereka untuk berjaya dalam pendidikan.

“Program sumbangan ini adalah sebahagian daripada inisiatif Program Ihsan @ PUJI 2025, yang bertujuan untuk menyediakan bantuan yang lebih menyeluruh dan berterusan kepada golongan yang memerlukan.

“Diharapkan bahawa usaha ini dapat memberi impak positif dalam mempersiapkan anak-anak kita untuk menghadapi cabaran di alam pendidikan dan kehidupan.

“PPj akan terus berusaha untuk membantu golongan kurang bernasib baik melalui pelbagai program yang bertujuan memperkasa masyarakat serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di Putrajaya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas