Berita

25 rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan kerja berjaya dibawa pulang

Bangunan Kementerian Luar Negara , Wisma Putra di Putrajaya.
- Diterbit 12 Mac 2025 6:15 PM MYT

KEMENTERIAN Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dan Bangkok berjaya memudah cara penghantaran pulang 25 warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan dalam talian di Myawaddy, Myanmar.

Menurut Wisma Putra, kesemua mangsa selamat tiba di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada pukul 4.40 petang tadi dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk proses siasatan lanjut.

“Mereka merupakan sebahagian daripada warga asing yang telah diselamatkan oleh pihak berkuasa Myanmar dalam operasi pembanterasan sindiket penipuan dalam talian di kawasan Myawaddy, Wilayah Kayin, Myanmar.

“Kedutaan Besar Malaysia di Yangon telah melakukan lawatan konsular ke Myawaddy bagi mengesahkan identiti rakyat Malaysia yang terlibat sebelum mereka diserahkan kepada pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok,” katanya.

Jelas Wisma Putra, pegawai kedutaan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand di sempadan Thailand di Mae Sot, Wilayah Tak untuk menguruskan kepulangan mereka melalui jalan darat.

Katanya, bantuan konsular yang menyeluruh telah diberikan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dan di Bangkok, merangkumi menghubungi waris, mengeluarkan dokumen perjalanan sementara, mengatur pengangkutan, menyediakan barangan keperluan asas seperti makanan dan pelitup muka, serta mengiringi mangsa sepanjang perjalanan mereka selama 26 jam dari Mae Sot, Wilayah Tak, Thailand ke Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Proses penghantaran pulang ini adalah kesinambungan kepada proses yang pernah dilakukan bagi 15 orang rakyat Malaysia yang dibawa pulang oleh Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok pada 24 Februari lalu.

“Kejayaan proses penghantaran pulang kali ini turut juga disumbangkan oleh kerjasama erat antara Kementerian Dalam Negeri, PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

“Kementerian Luar Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Thailand dan pihak berkuasa Myanmar atas bantuan mereka dalam menerima dan mempercepatkan proses penghantaran pulang 25 orang warganegara Malaysia tersebut,” katanya.

Jelasnya, Kementerian Luar Negeri kekal komited dalam memastikan kebajikan warganegara Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara dan akan sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan konsular melalui perwakilan diplomatiknya apabila diperlukan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas