PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus komited memastikan tiada pelajar yang tercicir ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) kerana masalah kewangan melalui dana wakaf pendidikan tinggi, myWaqafPTPTN.
Terbaharu, seramai 24 orang pelajar menerima biasiswa myWaqafPTPTN dengan peruntukan berjumlah lebih RM266,000.00.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, sejak dilancarkan pada 11 Mac 2024, sumbangan yang
telah diterima berjumlah lebih RM1,188,000.00.
“Alhamdulillah, sejak diperkenalkan, seramai 58 orang pelajar telah menerima biasiswa myWaqafPTPTN melibatkan peruntukan berjumlah lebih RM717,000.00.
“Seterusnya seramai 24 orang pelajar lagi akan menerima biasiswa. Ini menjadikan keseluruhan pelajar yang menerima biasiswa myWaqafPTPTN seramai 82 orang dengan peruntukan berjumlah lebih RM984,000.00,” ujar beliau dalam kenyataan.
Tambahnya, ketika Majlis Peluncuran Bulan Wakaf Kebangsaan Tahun 2025 pada Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sumbangan berjumlah RM30 juta kepada
myWaqafPTPTN sebagai sokongan.
“PTPTN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri dan para penyumbang atas keprihatinan ini,” ujar beliau.
Terdahulu, PTPTN dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) berusaha mempelbagaikan sumber dana pembiayaan PTPTN bagi membantu mahasiswa dalam bentuk biasiswa pendidikan tinggi.
myWaqafPTPTN mensasarkan sumbangan wakaf tunai daripada kerajaan, syarikat-syarikat korporat, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang awam serta entiti yang sah di sisi undang-undang sama ada dari dalam atau luar negara. – WILAYAHKU