Berita

230 penjaja Putrajaya terima tajaan SKSPS

SEBAHAGIAN penjaja yang terpilih menerima tajaan caruman SKSPS PERKESO
- Diterbit 16 Disember 2024 5:41 PM MYT

SERAMAI 230 penjaja Putrajaya terpilih menerima tajaan caruman daripada Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Caruman penuh SKSPS berjumlah RM232.80 setahun di mana 90 peratus daripada jumlah caruman tahunan tersebut ditanggung oleh kerajaan menerusi Geran Padanan Caruman manakala baki 10 peratus lagi ditaja oleh JWP dan PPj melalui inisiatif Program Usaha Jaya Insan (PUJl) di bawah komponen Lindung@PUJl.

Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud memberitahu secara keseluruhannya inisiatif ini memanfaatkan kepada lebih 2,000 penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri untuk membantu orang yang bekerja sendiri agar memperoleh perlindungan sosial yang mencakupi rawatan perubatan, rehabilitasi, latihan vokasional dan faedah tunai untuk orang tanggungan dalam kes kecederaan.

“Bagi memastikan perlindungan sosial ini diteruskan oleh penjaja, ada kemungkinan untuk kita teliti bagi menjadikan caruman ini sebagai salah satu syarat wajib memohon dan memperbaharui lesen perniagaan pada masa akan datang.

“Saya yakin apa sahaja usaha, dasar serta penyelesaian yang dirancang oleh kerajaan untuk manfaat rakyat perlu dilaksanakan melalui penglibatan bersama oleh semua pihak melalui pendekatan whole-of-nation seperti kerjasama strategik di antara JWP, PPj dan PERKESO.

“Kita perlu pecahkan ruyung dengan memecahkan sifat territorial dan silo antara semua pihak agar impak kepada usaha-usaha tersebut berjaya,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas