Berita

23 kategori dipertandingkan sempena HKM 2024

- Diterbit 20 Disember 2024 6:02 PM MYT

PENYERTAAN Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI Petronas 2024 telah mula dibuka pada 16 Disember lalu.

Malaysian Press Institute (MPI) berkata pengiktirafan tertinggi terhadap karya-karya kewartawanan Malaysia melalui HKM kini memasuki edisi ke-44 tahun penganjurannya sejak diperkenalkan pada tahun 1980.

Menurut Pengurus Anugerah MPI, Salman Husni Abdollah sebanyak 23 kategori dipertandingkan dalam Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2024 (HKM 2024) dengan nilai hadiah RM450,000 yang ditaja oleh PETRONAS.

“Penyertaan HKM 2024 telah mula dibuka pada 16 Disember lalu dan hanya karya kewartawanan yang telah diterbit dan disiarkan sepanjang tahun 2024 layak menyertainya.

“Terdapat beberapa pindaan yang ketara pada syarat-syarat dan peraturan penyertaan, antaranya; Kategori Wartawan Muda A. Samad Ismail, penyertaannya perlu mengemukakan dokumen sokongan berbentuk profil diri dan pencapaian yang telah disahkan oleh Ketua Pengarang atau Ketua Jabatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Salman berkata penyertaan kategori khusus media penyiaran televisyen dan video dalam talian serta penyiaran media radio dan podcast mesti mengandungi ahli kumpulan yang terdiri daripada beberapa peranan atau jawatan yang wajib ada dalam kumpulan.

“MPI memohon semua peserta yang ingin mempertaruhkan karyanya hendaklah meneliti syarat-syarat dan peraturan terlebih dahulu,” ujarnya.

Tarikh tutup penyertaan HKM 2024 ialah 24 Januari 2025 manakala tarikh tutup bagi pencalonan Tokoh Wartawan Negara, Tokoh Media Negara dan Anugerah Khas adalah pada 31 Mac 2025. Maklumat syarat penyertaan, panduan dan borang penyertaan boleh didapati di pautan https://www.mpi.my/award/hkm-2024. 

Majlis penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia 2024 disampaikan pada Malam Wartawan Malaysia dijangka berlangsung pada pertengahan Jun 2025. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas